Uribe nafi terbabit pembunuhan beramai-ramai era 1990-an

Foto AFP

BOGOTA, 5 September – Bekas Presiden Colombia, Alvaro Uribe, pada Jumaat menafikan bertanggungjawab terhadap dua pembunuhan beramai-ramai dan pembunuhan seorang pembela hak asasi manusia pada 1990-an, menjelang prosiding yang akan meneliti peranan beliau dalam kejadian berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Uribe mengetuai kempen ketenteraan besar antara 2002 hingga 2010 dan dituduh mempunyai kaitan dengan kumpulan separa tentera.
  • Beliau dijadual memberi keterangan mengenai pembunuhan beramai-ramai di Antioquia pada 1990-an dan pembunuhan Jesus Maria Valle tahun 1998.
  • Tahun lalu beliau dijatuhi 12 tahun tahanan rumah kerana rasuah kepada tahanan separa tentera, hukuman kemudian dibatalkan.
  • Kes La Granja (1996) dan El Aro (1997): puluhan mangsa dibunuh, rumah dibakar, saksi lihat helikopter; keluarga terus menuntut keadilan.

Uribe, 74, yang berhaluan kanan, mengetuai kempen ketenteraan besar-besaran terhadap kumpulan gerila antara 2002 dan 2010 dan didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan separa tentera yang aktif sepanjang konflik bersenjata selama beberapa dekad di Colombia.

Beliau dijadual memberikan keterangan berhubung pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan kumpulan separa tentera di dua kampung di wilayah Antioquia pada 1990-an ketika beliau berkhidmat sebagai gabenor wilayah itu.

Beliau turut akan memberi keterangan mengenai pembunuhan pemimpin masyarakat, Jesus Maria Valle pada 1998.

Valle ditembak mati di ibu negeri Antioquia, Medellin, selepas lantang mengecam pembunuhan beramai-ramai berkenaan.

“Saya menyangka saya telah berkhidmat kepada negara, tetapi hari ini saya datang untuk mengatakan bahawa saya bukan pembunuh,” kata Uribe di Bogota sebelum prosiding itu.

Dikelilingi anggota keselamatan yang lengkap bersenjata, beliau turut mendakwa siasatan berkenaan bermotifkan politik.

Tahun lalu, Uribe dijatuhi hukuman 12 tahun tahanan di rumah kerana memberi rasuah kepada anggota kumpulan separa tentera yang dipenjarakan supaya tidak mengaitkannya dengan kumpulan berkenaan. Bagaimanapun, hukuman itu kemudiannya dibatalkan.

Dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai di La Granja pada 1996 dan El Aro pada 1997, anggota kumpulan separa tentera membunuh puluhan penduduk, membakar rumah serta mencuri ternakan.

Mangsa dan saksi di El Aro mendakwa melihat helikopter kerajaan wilayah berlegar di kawasan itu selama beberapa hari, yang dipercayai memberikan perlindungan kepada anggota kumpulan separa tentera.

Pendakwa raya mendakwa Uribe didakwa menyokong penuh kegiatan kumpulan separa tentera, termasuk dengan menjadikan ladang keluarganya sebagai pangkalan operasi kumpulan itu.

Adik lelakinya, Santiago Uribe, pula dijatuhi hukuman penjara 28 tahun tahun lalu kerana mengetuai kumpulan separa tentera yang dikenali sebagai “The 12 Apostles”.

Peguam bela Alvaro Uribe sebelum ini berusaha menangguhkan dan malah menghentikan siasatan terhadap dakwaan penglibatan bekas pemimpin itu.

Pada 2006, Mahkamah Hak Asasi Manusia Antara-Amerika mendapati Colombia bertanggungjawab atas kecuaian berhubung pembunuhan beramai-ramai berkenaan.

Dua tahun kemudian, mahkamah sama turut memutuskan bahawa Colombia bertanggungjawab dalam kes pembunuhan terhadap Jesus Maria Valle.

Mangsa pembunuhan beramai-ramai berkenaan terus menuntut keadilan sejak bertahun-tahun lalu. – AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.