
SEPANG, 5 September – Penganjuran karnival dan program sempena perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bulan depan tidak hanya tertumpu di litar berkenaan tetapi turut diperluaskan ke sekitar Putrajaya.
- Beberapa karnival dan program berlangsung sepanjang tiga hari, diikuti acara tambahan seperti konsert selepasnya.
- KBS bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan sediakan ruang niaga untuk pelajar, veteran dan peniaga kecil, tertakluk kepada persetujuan Litar Antarabangsa Bahrain.
- Persiapan Litar Antarabangsa Sepang pada tahap sangat baik; kerja pembaikan dan naik taraf telah mula dijalankan.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pendekatan itu diambil bagi membolehkan lebih ramai masyarakat merasai kemeriahan acara F1 berkenaan berikutan akses ke Putrajaya yang lebih mudah serta mempunyai jumlah pengunjung yang ramai.
“Sepanjang tiga hari penganjuran itu, akan berlangsung beberapa karnival. Selepas acara itu, akan ada juga karnival lain seperti konsert dan sebagainya.
“Karnival ini tidak hanya berpusat dan bertumpu di SIC tetapi dianjurkan di sekitar Putrajaya kerana aksesnya lebih mudah, pengunjung lebih ramai dan lebih ramai lagi akan dapat menyertai karnival atau program yang dianjurkan”, katanya demikian selepas merasmikan acara larian Circuit Dash KBS x SIC Run 2026 pada Jumaat.
Larian yang disertai lebih 7,000 peserta itu memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman berada di litar berkenaan sebelum ia ditutup bagi kerja-kerja pembaikan dan naik taraf.
Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi menyediakan ruang kepada peniaga tempatan termasuk pelajar, veteran dan peniaga kecil dalam radius lebih dua kilometer dari SIC.
Beliau bagaimanapun berkata ruang niaga dalam radius SIC membabitkan gerai yang telah ditetapkan atau dipersetujui oleh Litar Antarabangsa Bahrain.
Sementara itu ,mengulas persiapan SIC menjelang perlumbaan itu, beliau berkata persiapan kini berada pada tahap sangat baik dengan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf litar telah mula dilakukan.