
KUALA LUMPUR, 4 September – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantung pemakaian baju oren bagi Orang Kena Siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan reman, berkuat kuasa serta-merta.
- OKS dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah; baju lokap hanya digunakan semasa berada dalam lokap.
- Pemakaian gari bergantung kepada keadaan; pengecualian diberikan kepada OKS uzur, OKU, kanak-kanak dan warga emas.
- SPRM kekal profesional, berintegriti serta mengekalkan kawalan keselamatan; Perdana Menteri menyokong tidak memakaikan baju oren sebelum pendakwaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu diambil susulan perkembangan terkini dan saranan semasa berkaitan tatacara pengendalian OKS, khususnya ketika proses membawa mereka ke mahkamah.
“OKS dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah, manakala pemakaian baju lokap hanya terpakai sepanjang tempoh OKS berada dalam tahanan di lokap.
“Bagi pemakaian gari pula adalah bergantung kepada keadaan tertentu dan dikecualikan kepada OKS yang uzur, Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak dan warga emas,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, SPRM akan terus mengambil langkah berjaga-jaga serta memastikan kawalan keselamatan dilaksanakan dengan sewajarnya dalam setiap proses pengendalian OKS.
SPRM kekal komited bagi memastikan setiap tindakan yang diambil dalam pengendalian OKS dilaksanakan secara profesional, berintegriti, berhemah dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.
Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata individu yang ditahan SPRM tidak perlu memakai ‘baju oren’ ketika dibawa ke mahkamah untuk prosiding reman.
Beliau berpendapat individu yang memberikan kerjasama sepenuhnya dalam sesuatu siasatan tidak perlu dipakaikan baju itu ketika dibawa ke mahkamah sebelum mereka dituduh secara rasmi.
Datuk Seri Anwar berkata langkah itu wajar dipertimbangkan bagi mengelak persepsi negatif masyarakat terhadap individu terbabit memandangkan proses siasatan masih berjalan dan mereka belum berdepan sebarang pertuduhan.
“Semalam (dalam mesyuarat Jemaah Menteri) saya juga sampaikan (beritahu), sebelum pendakwaan atau sebelum dihadapkan dan didakwa, baju jingga (oren) tidak perlu (dipakai),” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, Ampang Jaya hari ini.