BNM dijangka kekalkan OPR 2.75 peratus hingga akhir tahun

Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sehingga akhir tahun ini, disokong asas ekonomi domestik yang kukuh serta tekanan inflasi yang masih terkawal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan monetari kini konsisten dengan prospek kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
  • Ekonomi Malaysia berkembang 5.7 peratus pada separuh pertama 2026, disokong eksport kukuh dan perbelanjaan domestik berdaya tahan.
  • MBSB Research menaikkan unjuran KDNK 2026 kepada 5.1 peratus daripada 4.5 peratus berikutan prestasi lebih baik.
  • Inflasi keseluruhan dan teras sekitar 1.8-2.0 peratus; namun risiko geopolitik, tarif AS dan keadaan kewangan global ketat kekal.

MBSB Research berkata, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk mengekalkan OPR pada mesyuarat September adalah sejajar dengan jangkaan firma penyelidikan itu serta konsensus pasaran.

Menurutnya, pendirian monetari semasa kekal konsisten dengan prospek kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Ekonomi Malaysia berkembang 5.7 peratus pada separuh pertama 2026, dipacu prestasi eksport yang kukuh serta perbelanjaan domestik yang berdaya tahan,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Susulan prestasi lebih baik daripada jangkaan itu, MBSB Research menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 kepada 5.1 peratus daripada 4.5 peratus sebelum ini.

Momentum pertumbuhan dijangka terus disokong permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), eksport berkaitan teknologi, pemulihan ketibaan pelancong asing serta aktiviti pelaburan.

“Dari segi harga, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.8 peratus dan 2.0 peratus bagi tujuh bulan pertama tahun ini,” tambah kenyataan itu.

MBSB Research juga menjangkakan inflasi keseluruhan sekitar 2.0 peratus bagi 2026, dengan tekanan harga kekal terkawal meskipun terdapat peningkatan kos berkaitan bekalan.

Bagaimanapun, perkembangan geopolitik, tarif Amerika Syarikat serta keadaan kewangan global yang ketat terus menjadi antara risiko kepada prospek pertumbuhan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.