Dua kawasan catat IPU tahap bahaya, Kuching dan Serian melebihi 300

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 September – Dua kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap bahaya setakat pukul 5.00 petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serian rekod IPU 329, Kuching 312; beberapa kawasan lain catat tahap sangat tidak sihat seperti Samarahan, Sarikei, Sri Aman dan Sibu.
  • ASMC kesan 980 titik panas di Kalimantan, 134 di Sumatera, empat di Sarawak; Sekretariat ASEAN aktifkan Tahap Amaran 3 sejak 27 Ogos.
  • JAS hentikan aktiviti luar IPU melebihi 100; sekolah tutup melebihi 200; OPA jika IPU melebihi 150 selama 24 jam; denda RM25,000 hingga RM1 juta.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan tertinggi direkodkan di Serian dengan 329, diikuti Kuching dengan 312.

Selain itu, empat kawasan mencatatkan IPU pada tahap sangat tidak sihat, iaitu Samarahan (287), Sarikei (257), Sri Aman (253) dan Sibu (243).

18 kawasan pula merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat, antaranya Mukah (200), Bintulu (190), Kapit (190), Samalaju (171), Labuan (172), Kota Kinabalu (172), Kimanis (171), Keningau (174), Limbang (167), Johan Setia (159), Putrajaya (149), Sandakan (145), Nilai (151), Seremban (115) dan Tawau (102).

44 kawasan lagi mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana.

Menurut JAS, Peta Jerebu Serantau menunjukkan keadaan cuaca kering berterusan di sebahagian besar rantau ASEAN Selatan, dengan titik panas dikesan secara meluas di Kalimantan dan Sumatera serta beberapa kawasan di Sarawak.

Bagaimanapun, beberapa kawasan di Borneo, Sumatera dan Semenanjung Malaysia menerima hujan.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 1 September, sebanyak 980 titik panas dikesan di Kalimantan, 134 di Sumatera dan empat di Malaysia, semuanya di Sarawak.

Susulan peningkatan titik panas dan jerebu di rantau Selatan ASEAN, Sekretariat ASEAN mengaktifkan Tahap Amaran 3 berkuat kuasa 27 Ogos lalu berdasarkan pemantauan, penilaian dan ramalan ASMC, selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) MAJER ASEAN.

JAS melalui Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) terus memantau kualiti udara di seluruh negara.

Aktiviti luar bilik darjah dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska ditutup apabila bacaan melebihi 200.

Operasi Pembenihan Awan (OPA) pula dilaksanakan, tertakluk kepada keadaan cuaca, apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.

JAS Negeri Sarawak turut meneruskan rondaan, Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT), pemantauan dan penguatkuasaan, khususnya di kawasan berisiko.

Dalam pada itu, aspek keselamatan dan kesihatan anggota lapangan turut diberi perhatian berikutan bacaan IPU yang menghampiri paras 300.

Pihak industri juga diminta mengurangkan pelepasan udara daripada punca utama di kawasan yang mencatatkan bacaan melebihi 300.

Orang ramai boleh mendapatkan bacaan IPU terkini setiap jam menerusi laman sesawang JAS atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS, manakala nasihat kesihatan dan langkah pencegahan ketika jerebu boleh dirujuk menerusi laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

JAS turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membenarkan tanah dan premis mereka dicerobohi sehingga menyebabkan kejadian berkenaan.

Di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, pesalah boleh dikenakan denda antara RM25,000 hingga RM1 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, selain kompaun sehingga 50 peratus daripada denda maksimum.

Orang ramai juga diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil serta melaporkan kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.