MRA lancar tabung kemanusiaan bencana Nepal

Keadaan di Nepal selepas dilanda banjir besar/ REUTERS

KUALA LUMPUR, 2 September – Malaysian Relief Agency (MRA) melancarkan Tabung Kemanusiaan Bencana Nepal bagi menggerakkan bantuan kecemasan kepada masyarakat yang terjejas akibat bencana banjir besar yang melanda beberapa wilayah di Nepal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekurang-kurangnya 939 mayat ditemukan; kira-kira 3,925 orang hilang, dan sekitar 93,000 mungkin terjejas.
  • Banjir merosakkan kediaman, jalan, jambatan, sekolah, kemudahan kesihatan dan infrastruktur hidroelektrik, menyukarkan penghantaran bantuan.
  • Tabung digunakan untuk operasi kecemasan, memberi keutamaan keperluan asas awal termasuk makanan, bekalan air bersih dan musolla sementara.

Presiden MRA Khairil Annuar Khalid dalam kenyataan memaklumkan, berdasarkan perkembangan semasa sehingga 31 Ogos 2026, sekurang-kurangnya 939 mayat telah ditemukan

“Manakala kira-kira 3,925 orang dilaporkan masih terputus hubungan atau belum dapat dikesan.

“Pada masa yang sama, Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) menganggarkan bahawa sekitar 93,000 penduduk mungkin terjejas akibat bencana ini,” menurut kenyataan itu.

Banjir deras tersebut telah memusnahkan dan merosakkan kediaman, jalan raya, jambatan, sekolah, kemudahan kesihatan, kawasan pertanian serta infrastruktur hidroelektrik.

Beberapa jalan utama dan jambatan turut terputus, sekali gus menyukarkan usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan ke kawasan yang paling teruk terjejas.

Sehubungan dengan itu, MRA mengambil inisiatif untuk melancarkan Tabung Kemanusiaan Bencana Nepal.

Dana itu akan digunakan bagi menyokong operasi bantuan kemanusiaan MRA kepada komuniti yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada keperluan asas semasa fasa awal kecemasan.

Antara bentuk bantuan yang dirancang ialah termasuk pembinaan musolla sementara bagi komuniti Muslim yang terjejas, bantuan makanan, bekalan air bersih serta keperluan berkaitan.

MRA juga menyeru rakyat Malaysia, sektor korporat, institusi, masjid dan surau, pertubuhan masyarakat sivil serta seluruh lapisan masyarakat untuk bersama-sama menyumbang kepada Tabung Kemanusiaan Bencana Nepal.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun rasmi MALAYSIAN RELIEF AGENCY BERHAD menerusi Maybank, No. Akaun: 5640 9820 8020 atau Alliance Bank, No. Akaun: 6410 8001 002 4389.

MRA akan terus memantau perkembangan situasi serta menjalankan penilaian keperluan bersama rakan kerjasama di Nepal bagi menentukan bentuk intervensi yang paling sesuai. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi MRA International di talian +60 16-334 1672.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.