
MASJID TANAH, 1 September – Inisiatif khas pemberian subsidi penyelenggaraan motosikal bakal diperkenal Melaka, bertujuan meringankan beban kewangan lebih 3,000 penghantar makanan (p-panggilan) di seluruh negeri itu.
- Subsidi penyelenggaraan melalui bengkel terpilih berdaftar di setiap DUN akan dilantik.
- Kadar subsidi dijangka antara 20 hingga 30 peratus.
- Kerajaan negeri meneliti peluasan pencaruman PERKESO bagi meningkatkan perlindungan kebajikan p-panggilan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika menyatakan komitmen itu menjelaskan, bagi membolehkan kumpulan sasar memperoleh kemudahan berkenaan, subsidi akan melibatkan bengkel-bengkel penyelenggaraan motosikal terpilih yang bakal dilantik di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kerajaan negeri kini mengenal pasti bengkel yang layak dan berdaftar, dengan kadar subsidi dijangka antara 20 hingga 30 peratus.
“Peruntukan bagi inisiatif itu bakal dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum kaedah pelaksanaan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat,”katanya selepas turun padang menyertai penghantar p-panggilan membuat penghantaran makanan, di sini.
Beliau dalam masa sama memberitahu, kerajaan negeri turut meneliti kaedah memperluas pencaruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada golongan p-panggilan, sebagai antara usaha meningkatkan perlindungan kebajikan.
Sementara itu, bagi golongan p-panggilan, inisiatif berkenaan berupaya membantu mengurangkan kos penyelenggaraan motosikal.
“Inisiatif itu bakal membantu kami terutamanya dalam mengurangkan kos penyelenggaraan motosikal yang seperti kebiasaannya kami perlu tukar minyak hitam dan rantai,”kata Muhammad Akmal Mustapha Kamar.
“Sebulan sekali memang kami perlu menukar mintak hitam, rantai juga masalah tayar. Jika inisiatif direalisasikan mampu mengurangkan beban kami,”akui Syamsul Kamal Sidek.