
IPOH, 1 September – Usaha memperkasa persediaan anak asnaf menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 diperkukuh menerusi sumbangan 50 komputer riba bernilai hampir RM200,000 kepada pelajar yang memerlukan dalam Seminar Kecemerlangan SPM 2026 – Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal (SBBP) Zon Tengah, di sini.
- Program Kerjasama Wakalah Pintas Utama membantu pelajar asnaf mendapatkan akses teknologi dan pembelajaran digital.
- Pintas Utama komited menyokong pembangunan pendidikan untuk melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing, kata Ketua Pegawai Eksekutif.
- Komputer riba kini keperluan penting bagi akses bahan, melaksanakan tugasan dan meningkatkan kemahiran digital; program ini diteruskan selepas sumbangan sebelum ini.
Sumbangan menerusi Program Kerjasama Wakalah oleh Pintas Utama Sdn Bhd itu bertujuan membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mendapatkan akses kepada kemudahan teknologi dan pembelajaran digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama Datuk Marhalim Mohamed berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan pendidikan dan melahirkan generasi berilmu serta berdaya saing.
Menurutnya, akses kepada pendidikan berkualiti perlu diberikan kepada setiap pelajar kerana mereka mempunyai potensi besar untuk mencorakkan masa depan negara.
“Dalam persekitaran pendidikan hari ini, komputer riba bukan lagi sekadar kemudahan tambahan, sebaliknya telah menjadi keperluan penting bagi membolehkan pelajar mengakses bahan pembelajaran, melaksanakan tugasan serta meningkatkan kemahiran digital mereka,” katanya dalam kenyataan bersempena majlis penyerahan sumbangan itu.
Penyerahan 50 unit komputer riba itu disempurnakan wakil Pintas Utama dan disaksikan Ketua Pegawai Operasi Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) Wan Maizura Wan Zahari serta Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Pintas Utama Rohizan Omar.
Sumbangan berkenaan meneruskan inisiatif Pintas Utama di Perak, selepas 30 unit komputer riba turut disumbangkan kepada pelajar dalam satu program di Manjung pada 26 Ogos lepas.