Jurulatih baharu badminton beregu wanita harap mampu bawa pasukan rangkul juara

Foto BAM

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Jurulatih baharu badminton beregu wanita Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Pei Tty berharap mampu memikul tanggungjawab baharu ke arah kejayaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu masa menilai keseluruhan pasukan sebelum memulakan latihan.
  • Banyak belajar kepimpinan dan pentingnya komunikasi berkesan semasa di Sekolah Sukan Singapura.
  • Kaedah pendedahan latihan harus disesuaikan mengikut generasi; setiap program memerlukan penelitian mendalam dan mungkin 4 hingga 5 tahun untuk melihat hasil.
  • Bekas pemain beregu wanita nombor satu dunia; pernah menjuarai Sukan Komanwel dan Kejohanan Asia bersama Chin Eei Hui.

Pei Tty yang dilantik berkuatkuasa hari ini menyatakan teruja tetapi memerlukan masa dalam menilai keseluruhan pasukan sebelum memulakan latihan.

Sebelum ini beliau pernah berkhidmat di bawah BAM sebelum meninggalkan badan itu bagi memikul tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih di Sekolah Sukan Singapura.

“Semasa di Sekolah Sukan Singapura, saya banyak belajar mengenai kepimpinan dan cara mengetuai pasukan, terutamanya kepentingan menyampaikan arahan dan komunikasi yang baik.

“Generasi sekarang agak berbeza berbanding dahulu dan kaedah pendedahan latihan harus dibentuk mengikut kesesuaian generasi,” katanya.

Pei Tty menegaskan setiap program harus diberi penelitian mendalam dan menganggarkan ia memakan masa empat hingga lima tahun sebelum ia betul-betul menunjukkan hasil.

Bekas pemain beregu wanita nombor satu dunia tersebut pernah menjuarai Sukan Komanwel dan Kejohanan Asia pada awal 2000 dengan pasangan beregu Chin Eei Hui.

Beliau menyatakannya semasa sesi latihan beregu wanita remaja di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.