Azizulhasni sebak, terharu terima sokongan

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dalam klip di akaun IG tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata apabila mengetahui khidmatnya masih diperlukan negara – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos ”Sebak dan terharu”.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menerima pengesahan melalui e-mel daripada KBS dan MSN bahawa khidmatnya masih diperlukan untuk misi kelayakan LA28.
  • Mengalami minggu sukar yang menjejaskan tumpuan latihan namun kini dapat kembali fokus latihan.
  • Sangat menghargai sokongan rakyat melalui mesej dan komen di media sosial.
  • Berikrar terus memberi yang terbaik, fokus kepada persiapan kelayakan LA28 termasuk Kejohanan Trek Dunia UCI 2026 di Shanghai.

Itu yang dirasakan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang selepas menerima pengesahan bahawa khidmatnya masih diperlukan untuk meneruskan misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Menerusi satu hantaran video di Instagram, beliau menyatakan telah menerima e-mel daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) sebaik selesai menjalani sesi latihan di trek.

Menurut juara dunia keirin 2017 itu, jawapan berkenaan amat bermakna selepas melalui tempoh seminggu yang sukar sehingga menjejaskan tumpuannya ketika menjalani latihan.

“Pada sambutan Hari Kebangsaan 2026, saya membuat keputusan untuk meneruskan latihan selepas seminggu tidak dapat menjalani latihan.

“Selepas selesai sesi latihan di trek, saya membuka e-mel dan menerima perkhabaran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) yang masih memerlukan khidmat saya,” katanya.

Pelumba berusia 38 tahun itu mengakui hanya atlet yang pernah melalui sendiri pengorbanan dan tekanan mewakili negara mampu memahami perasaannya ketika ini.

Katanya, sokongan rakyat Malaysia sepanjang tempoh berkenaan turut memberikan kekuatan kepadanya untuk terus berjuang.

“Tidak semua orang akan faham perasaan ini kalau tidak pernah melaluinya. Hanya atlet dan mereka yang benar-benar berkorban untuk negara sahaja yang faham perasaan ini, ” luahnya lagi.

Dalam pada itu, Datuk Azizulhasni menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus memberikan sokongan kepadanya, termasuk menerusi mesej dan komen di media sosial.

Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus memberikan yang terbaik kepada negara selepas menerima kepastian mengenai hala tuju kariernya.

Selain, memaklumkan kini boleh kembali memberikan tumpuan kepada persiapan bagi kempen kelayakan LA28, dengan Kejohanan Trek Dunia UCI 2026 di Shanghai pada Oktober antara pentas penting yang bakal dihadapinya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.