SUKIPT 2026: Jing Xuan lebur rekod temasya, hadiah emas bermakna pada Hari Kebangsaan

Foto SUKIPT

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Atlet rejam lembing wanita negara, Ng Jing Xuan menghadiahkan “butiran emas” yang penuh bermakna buat Universiti Sunway sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 apabila berjaya memecahkan rekod temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di Arena UM, Universiti Malaya, pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jing Xuan tidak berjaya memperbaharui rekod kebangsaan 52.17m, berasa sedikit terkilan.
  • Menjalani latihan intensif sebulan selepas Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 Tahun sebagai persediaan.
  • Nekad fokus kepada Sukan Universiti ASEAN (AUG) Disember dan Sukan SEA tahun depan demi mengharumkan nama Malaysia.

Atlet berusia 22 tahun itu mencatatkan balingan sejauh 46.92 meter (m) pada aksi final, sekali gus memadam rekod lama 44.41m milik Nur Fatin Adibah Suharman dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dilakukan pada edisi 2016.

Walaupun gembira dengan kejayaan meraih pingat emas, Jing Xuan mengakui sedikit terkilan kerana misi utamanya untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri, iaitu 52.17m, tidak kesampaian pada penampilan kali ini.

“Sebenarnya untuk SUKIPT kali ini, sasaran saya adalah untuk melakukan yang terbaik seperti biasa. Cuma saya ada sasaran untuk rekod kebangsaan, tetapi hari ini tiada rezeki untuk mendapatkannya.

“Namun, saya berjaya mencipta rekod SUKIPT. Jadi, saya bersyukur juga dapat memecahkan rekod SUKIPT,” katanya ketika ditemui selepas tamat saingan final acara berkenaan di sini.

Beliau berkata, latihan intensif selama sebulan dijalaninya sebaik pulang daripada menyertai Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 Tahun sebagai persediaan menghadapi temasya berkenaan.

“Jadi, bila tak dapat keputusan yang saya rasa saya boleh buat, saya agak kecewa sedikit, tetapi kami terima keputusan ini,” katanya yang mengharapkan catatan lebih jauh berdasarkan prestasinya ketika sesi latihan sebelum ini.

Beliau menjelaskan perubahan jadual pertandingan pada saat akhir daripada sesi petang kepada sesi pagi turut memberi sedikit kesan terhadap rentak balingannya yang dirasakan agak perlahan.

Sesuai dengan semangat Hari Kebangsaan, Jing Xuan kini nekad untuk terus fokus kepada persiapan menjelang Sukan Universiti ASEAN (AUG) pada Disember ini dan Sukan SEA tahun depan demi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Terdahulu, beliau jauh meninggalkan pencabar lain untuk meraih emas, manakala pingat perak dimenangi Farisha Athirah Wai dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi balingan 36.21m.

Tai Yu Tian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pula membawa pulang pingat gangsa dengan catatan 32.74m. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.