Sohayla Hussein, Abhay Singh gegar Piala Tuanku Muhriz 2026

Foto RTM

SEREMBAN, 30 Ogos – Pemain Mesir, Sohayla Hussein dan wakil India, Abhay Singh muncul juara kategori wanita dan lelaki Piala Tuanku Muhriz 2026 selepas menewaskan pencabar dari Hong Kong dalam aksi final di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sohayla Hussein menewaskan Heylie Fung 11-4, 11-2, 11-9; raih gelaran PSA keempat dan gelaran 15K pertama.
  • Abhay Singh menang lima set ke atas Henry Leung 11-7, 6-11, 3-11, 11-5, 12-10; sasar pingat emas Sukan ASEAN.
  • Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz, berangkat menyaksikan perlawanan akhir dan menyampaikan hadiah.
  • Kejohanan beri pendedahan antarabangsa, bantu pemain tempatan ukur prestasi, jimat kos dan sokong pembangunan bakat menjelang Olimpik Los Angeles 2028.

Sohayla menewaskan Heylie Fung dari Hong Kong dalam tiga set berturut-turut, 11-4, 11-2 dan 11-9 pada perlawanan akhir kategori wanita yang berlangsung di Kompleks Sukan Tan Sri Dato’ Dr Haji Mohd Said.

Kemenangan itu membolehkan Sohayla meraih gelaran Persatuan Skuasy Profesional (PSA) keempat dalam kariernya, selain menjadi gelaran pertama dalam kejohanan bertaraf 15K.

“Saya sangat gembira dapat meraih kemenangan hari ini. Ini merupakan gelaran PSA keempat saya dan gelaran 15K pertama saya. Saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan ia juga satu perlawanan yang cukup hebat,” katanya.

Dalam kategori lelaki, Abhay Singh dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Henry Leung juga dari Hong Kong dalam pertarungan lima set.

Abhay menang 11-7, 6-11, 3-11, 11-5 dan 12-10 untuk melengkapkan penampilan pertamanya musim ini dengan gelaran juara.

“Saya sangat gembira dapat datang ke sini dan meraih kemenangan. Ini merupakan kejohanan pertama saya musim ini selepas rehat musim panas. Jadi, saya amat berpuas hati,” katanya.

Abhay berkata sasaran seterusnya adalah memenangi pingat emas pada Sukan ASEAN yang akan disertainya bulan depan.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berkenan berangkat menyaksikan perlawanan akhir sebelum menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Kejohanan itu menghimpunkan pemain tempatan dan antarabangsa dalam saingan kompetitif, sekali gus memberi peluang kepada pemain negara menguji kemampuan menentang pemain berstatus dunia.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Skuasy Negeri Sembilan, Chris Chantharasegeran berkata, penganjuran kejohanan berkenaan bukan sahaja meningkatkan tahap persaingan, malah memberi pendedahan penting kepada pemain tempatan.

Menurutnya, pengalaman berdepan pemain antarabangsa dapat membantu pemain tempatan mengukur tahap prestasi masing-masing.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, penganjuran kejohanan antarabangsa di dalam negara memberi lebih banyak peluang kepada pemain tempatan mengumpul mata bagi meningkatkan kedudukan dalam ranking dunia.

Katanya, penganjuran di dalam negara juga dapat mengurangkan kos berbanding menghantar pemain menyertai kejohanan di luar negara.

Kementerian Belia dan Sukan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan program pembangunan bakat dan laluan prestasi tinggi bagi memastikan kesinambungan pelapis skuasy negara.

Persediaan itu turut mengambil kira penampilan sulung sukan skuasy di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.