
SERDANG, 29 Ogos – Kampung Nelayan Meranti diperkenalkan sebagai tarikan baharu D’Laman Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung mengenali warisan dan budaya komuniti nelayan tempatan.
- Direka memberi pengalaman perkampungan nelayan tradisional yang asli melalui aktiviti interaktif dan kebudayaan.
- Tarikan termasuk demonstrasi pengukiran bot, kemahiran menyirat jala, permainan sukan rakyat dan wayang pacak malam.
- Menampilkan pasar terapung untuk urus niaga atas sampan dan hidangan hasil laut di Tropical Garden Café.
- D’Laman LKIM sebagai destinasi agropelancongan dan platform memperkasa sosioekonomi persatuan nelayan serta usahawan tempatan.
Kampung tersebut direka bagi memberikan pengalaman perkampungan nelayan yang lebih asli dengan membawa pengunjung mengimbau suasana kehidupan masyarakat nelayan “ala dolu-dolu” menerusi pelbagai aktiviti interaktif dan kebudayaan.
Ketua Pengarah LKIM, Datuk Dr. Abdul Salim Tajudin berkata, pengenalan zon itu bertujuan memberi gambaran kepada pengunjung mengenai kehidupan dan suasana sebenar perkampungan nelayan tradisional.
“Khas kita bawa tu nak tunjuk kepada pengunjung supaya dia dapat tahu benda ini, kampung nelayan yang asal.
“Di samping itu, kita ada pasar terapung, pengunjung boleh membeli makanan istimewa dengan berurus niaga atas sampan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Kampung Nelayan Meranti yang disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Antara tarikan yang disediakan di Kampung Nelayan Meranti ialah demonstrasi pengukiran bot tradisional, kemahiran menyirat jala, permainan sukan rakyat serta persembahan wayang pacak pada waktu malam.
Pengenalan zon baharu itu melengkapkan konsep “Tiga Tarikan, Satu Pengalaman” di D’Laman LKIM.
Selain Kampung Nelayan Meranti, pengunjung turut berpeluang menikmati hidangan berasaskan hasil laut di Tropical Garden Café (TGC) dan merasai pengalaman membeli-belah di Floating Market sepanjang 10 hari penganjuran MAHA 2026.
LKIM berkata, D’Laman LKIM bukan sahaja menjadi destinasi agropelancongan untuk keluarga, malah berfungsi sebagai platform memperkasa sosioekonomi komuniti nelayan.
Inisiatif itu turut memberi peluang kepada persatuan nelayan dan usahawan tempatan mempromosikan produk serta warisan kebudayaan mereka kepada pengunjung MAHA 2026.