
KUALA LUMPUR, 29 Ogos — Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) menyifatkan pemergian penyanyi dan vokalis kumpulan Bumiputra Rockers (BPR), Johari Mat Rozekhi atau Joey, 63, sebagai satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air.
- Persatuan Seniman (SENIMAN) menganggap pemergian Joey satu kehilangan besar kepada industri seni tanah air.
- Joey vokalis Bumiputra Rockers dan figura penting yang mewarnai muzik rock tanah air sejak era 1980-an.
- Selain penghibur berpengalaman, beliau sahabat serta pejuang industri dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa SENIMAN.
- Pemeriksaan doktor mendapati pendarahan di kepala serta komplikasi jantung; jenazah akan disolatkan dan dikebumikan di Ukay Perdana.
Setiausaha Agung SENIMAN, Hafiz Nafiah berkata, Allahyarham bukan sahaja penyanyi dan penghibur berpengalaman.
Malah seorang sahabat serta pejuang industri seni yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) SENIMAN.
“Joey antara nama besar yang mewarnai perjalanan muzik rock tanah air sejak era 1980-an, manakala BPR mula aktif sekitar 1985.
“Joey menjadi antara figura penting yang mengangkat nama BPR sebagai salah sebuah kumpulan rock yang mempunyai pengaruh besar dalam industri muzik Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, antara karya popular Allahyarham bersama BPR ialah Aku Hanya Serangga, Dari Sinar Mata dan Seribu Tahun Takkan Mungkin.
BPR turut melalui zaman kegemilangan menerusi beberapa album seperti Selamat Pagi Malaysia (1986), Bisa (1987), Kelab Jiwa Luka (1990) dan Era 90-an (1991).
Hafiz berkata, SENIMAN merakamkan penghargaan dan terima kasih atas segala jasa serta sumbangan Allahyarham kepada industri muzik dan seni tanah air.
Menurutnya, Allahyarham dilaporkan rebah selepas selesai membuat persembahan di Laman Santai, Istana Budaya (IB) di sini, malam tadi.
Perkara itu dimaklumkan isterinya, Zarinah Zainal kepada SENIMAN.
Hafiz berkata, pemeriksaan doktor mendapati terdapat pendarahan di kepala selain komplikasi berkaitan jantung.
Joey menghembuskan nafas terakhirnya di HKL kira-kira 8.11 pagi tadi.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Ukay Perdana untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Kuala Lumpur.