
STOCKHOLM, 29 Ogos – Gol pada saat akhir perlawanan oleh Marquinhos menyelamatkan Paris St Germain (PSG) daripada mengalami kekalahan pertama musim ini apabila mengikat Lille 2-2 pada saingan Ligue 1, semalam.
- Perlawanan ditangguhkan 15 minit akibat masalah sistem tiket di stadium.
- Lille mendahului 2-0 melalui rembatan lencong Hakon Arnar Haraldsson dan gol Dilane Bakwa; PSG sukar menembusi pertahanan tuan rumah.
- Vitinha muncul dengan gol masa kecederaan dan hantaran melorong menghasilkan gol penyamaan dramatik bagi PSG.
Keputusan itu menyaksikan juara bertahan itu terus bergelut mencari kemenangan sulung liga selepas sekadar mencatatkan keputusan seri menentang Rennes pada minggu pembukaan.
Perlawanan yang terpaksa ditangguhkan selama 15 minit berikutan masalah sistem tiket di stadium menyaksikan tuan rumah, Lille terlebih dahulu berada di depan menerusi rembatan lencong Hakon Arnar Haraldsson pada minit ke-21 hasil hantaran Olivier Giroud.
Usaha PSG untuk menguasai bahagian serangan kerap menemui jalan buntu berikutan benteng pertahanan tuan rumah yang ampuh sebelum Dilane Bakwa menambah duka PSG menerusi gol kedua Lille pada minit ke-84.
Bagaimanapun, perancang tengah PSG, Vitinha memberikan sinar harapan buat pasukan pelawat selepas meledak gol cantik pada minit pertama masa kecederaan.
Empat minit kemudian, pemain antarabangsa Portugal itu melorongkan hantaran silang yang disempurnakan menerusi tandukan Marquinhos bagi melengkapkan kebangkitan dramatik PSG.
Keputusan itu meletakkan Lille di persada carta liga dengan empat mata daripada dua perlawanan, manakala PSG sekadar berada di kedudukan keenam dengan mengumpul dua mata. – REUTERS.