
NEW YORK, 29 Ogos – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempercepat usaha penyaluran bantuan kemanusiaan di Nepal kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di negara itu.
- Operasi diketuai oleh Penyelaras Residen PBB Lila Pieters Yahia yang bekerjasama rapat dengan kerajaan Nepal dan NGO.
- Bantuan diselaraskan bersama OCHA, WHO, WFP, UNICEF serta pelbagai NGO untuk pengagihan dan sokongan kecemasan.
- Penilaian awal menunjukkan kira-kira 11,000 hektar tanah dan 45 kilometer jalan rosak, lebih 1,000 penduduk berlindung di pusat pemindahan.
- Anggaran keperluan: 20,000 isi rumah perlukan makanan; 50,000 memerlukan air bersih dan sanitasi; ribuan kanak-kanak, wanita hamil dan remaja memerlukan bantuan.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata pihaknya kini bersama pertubuhan serta badan bukan kerajaan (NGO) lain, bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal.
“Operasi bantuan kemanusiaan itu diketuai oleh Penyelaras Residen PBB, Lila Pieters Yahia yang bekerjasama dengan kerajaan Nepal,” katanya.
Usaha penyaluran bantuan tersebut turut diselaras bersama pejabat penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Program Makanan Sedunia, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) serta pelbagai NGO.
Durajjic berkata, Lila Pieters Yahia bersama pasukan PBB di Nepal turut mengunjungi kawasan Bidur Municipality di daerah Nuwakot pada awal pagi Sabtu waktu tempatan.
Bagaimanapun, lawatan itu terpaksa dipendekkan susulan amaran banjir baharu di lokasi berkenaan.
Berdasarkan penilaian awal menunjukkan kira-kira 11,000 hektar tanah dan 45 kilometer jalan raya di Nuwakot mengalami kerosakan selain, lebih 1,000 penduduk berlindung di lima lokasi pemindahan sementara setakat ini.
“Walaupun kerosakan jalan raya dan tanah runtuh terus menyukarkan akses ke kawasan terjejas, kami kini mula mendapat gambaran lebih jelas mengenai keperluan besar penduduk yang terjejas,” jelasnya.
PBB menganggarkan sekurang-kurangnya 20,000 isi rumah di Nuwakot dan Rasuwa memerlukan bantuan makanan.
Manakala, lebih 50,000 penduduk memerlukan sokongan kecemasan berkaitan air bersih, sanitasi dan kebersihan.
Selain itu, kira-kira 17,000 kanak-kanak, 1,500 wanita hamil dan menyusukan bayi serta 9,000 remaja memerlukan bantuan makanan segera.
Sekurang-kurangnya 23 sekolah turut memerlukan kerja-kerja pemulihan.
Durajjic berkata PBB akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal bagi memperluas pengagihan bantuan di samping, memantau perkembangan semasa di rantau berkenaan.