
KUALA TERENGGANU, 19 Oktober – Pelaksanaan projek pembangunan bernilai RM1.8 bilion di Terengganu di bawah Rancangan Malaysia ke-13 dalam tempoh Lima Tahun bermula 2026 dijangka terus memberi manfaat kepada rakyat.
- Projek penting disiapkan tahun ini termasuk muara Sungai Setiu serta Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun dan Hulu Terengganu.
- Kerjasama agensi kerajaan ditekankan bagi memastikan pelaksanaan projek mengikut perancangan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
- Kerajaan komited menjaga kebajikan rakyat serta berusaha meningkatkan taraf hidup dan pendapatan masyarakat.
- Pembangunan belia diberi tumpuan termasuk program ekonomi, bantuan peralatan untuk usahawan muda serta usaha tingkatkan gaji minimum dan pekerjaan.
Manakala, peruntukan tambahan susulan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri baru-baru ini juga diharap dapat memperkukuh pembangunan negeri tersebut.
Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif berkata, beberapa projek berjaya disiapkan tahun ini, termasuk projek muara Sungai Setiu di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran-JPS serta pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun dan Hulu Terengganu.
Menurutnya, kerjasama semua agensi kerajaan penting bagi memastikan projek pembangunan dapat disiapkan mengikut perancangan, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Banyak lagi projek lain yang dijangka dapat disiapkan pada tahun 2026, dan semuanya bertujuan memberikan manfaat kepada rakyat. Alhamdulillah, dengan kerjasama semua agensi terlibat, kita terus berusaha memastikan setiap projek dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
“Kerajaan juga komited memastikan kebajikan rakyat di seluruh negeri mendapat perhatian serius, di samping berusaha meningkatkan taraf hidup dan pendapatan mereka dari semasa ke semasa,” katanya selepas menyempurnakan Ucapan Penangguhan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu Sidang Dua Penggal ke-35 Sesi2025-2026 di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort-TER, Kuala Ibai, di sini.
Turut hadir pada majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Asmadi Mohamad, residen Majlis Belia Negeri Terengganu, Mukhri Mamat serta wakil-wakil kerajaan negeri dan agensi berkaitan.
Persidangan kali ini menghimpunkan 110 perwakilan, termasuk wakil daripada 22 badan atau persatuan belia di Terengganu.
Dalam perkembangan berkaitan pembangunan belia, Datuk Abdul Kahar berkata kerajaan akan memberi perhatian terhadap cadangan dan usul yang dibangkitkan, termasuk program ekonomi belia serta bantuan peralatan bersesuaian kepada usahawan muda bagi membantu mereka menjana pendapatan.
Selain itu beliau turut menyifatkan langkah meningkatkan gaji minimum dan peluang pekerjaan sebagai antara usaha yang dapat membantu golongan belia, khususnya mereka yang baru memasuki pasaran kerja.