
GAZA, 19 Oktober – Kejohanan bola sepak kanak-kanak ‘Basmat Amal’ dengan penglibatan lapan pasukan daripada kem-kem pelarian, membantu mengurangkan tekanan emosi akibat perang seterusnya memberi akses terhadap aktiviti kesukanan.
- Kejohanan dianjurkan khusus untuk kanak-kanak yang terpaksa berdepan pengalaman mengerikan akibat peperangan.
- Aktiviti sukan membantu kurangkan tekanan emosi, membina persahabatan dan memberi ruang riadah kepada kanak-kanak.
- Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa, serangan masih berterusan dan terus menjejaskan kehidupan serta keselamatan kanak-kanak.
Kejohanan berlangsung pada Ahad itu menghimpunkan kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun.
Penganjur, Mohammed Al-Gharib berkata kejohanan dianjurkan khusus untuk kanak-kanak yang terpaksa berdepan pengalaman mengerikan akibat peperangan.
“Pertandingan ini dianjurkan untuk anak-anak yang sedang menderita akibat kengerian perang,” katanya.
Menurutnya, kanak-kanak di Gaza berdepan pelbagai cabaran sejak tiga tahun lalu sekali gus meninggalkan kesan psikologi yang berpanjangan.
Justeru, kejohanan tersebut bertujuan membantu mengurangkan tekanan emosi mereka melalui aktiviti sukan dan interaksi bersama rakan sebaya.
Daripada penyertaan lapan pasukan, pasukan kem Al-Tahrir dalam kalangan anak-anak yatim muncul sebagai juara kejohanan.
Bapa kepada pemain yang memenangi anugerah pemain terbaik, Imad Hassanein, berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan menerima lebih banyak sokongan.
“Saya berharap kejohanan seperti ini dapat diteruskan dan memperoleh lebih banyak sokongan,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran aktiviti sukan berkenaan penting dalam memperbaiki kehidupan kanak-kanak selepas tiga tahun berdepan pelbagai kekurangan.
Kejohanan itu turut menjadi ruang untuk kanak-kanak beriadah, membina hubungan sosial dan mengalihkan perhatian daripada kesukaran hidup akibat konflik.
Meskipun gencatan senjata di Gaza berkuat kuasa Oktober 2025, serangan dan tembakan masih berterusan mengakibatkan angka korban terus meningkat seterusnya menjejaskan kehidupan penduduk termasuk kanak-kanak.-VIORY