
PARIS, 19 Oktober – Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengancam tindakan lebih tegas termasuk larangan perhimpunan awam susulan rusuhan ganas di negara itu, mengakibatkan bangunan awam terbakar, premis perniagaan dirompak dan ratusan anggota polis cedera.
- Macron berikrar membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan dan menuduh ekstremis kiri serta penjenayah atas kemusnahan.
- Beliau mengakui kebimbangan penunjuk perasaan aman mengenai kenaikan kos sara hidup dan harga bahan api.
- Arah pegawai wilayah bekerjasama dengan datuk bandar untuk melindungi fasiliti awam dan Perdana Menteri menyelaraskan bantuan kecemasan kepada komuniti terjejas.
Macron berikrar mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, selain menuduh kumpulan ekstremis kiri dan penjenayah atas kemusnahan yang berlaku.
Bagaimanapun, beliau mengakui kebimbangan penunjuk perasaan yang berhimpun secara aman berhubung peningkatan kos sara hidup dan harga bahan api.
“Pihak yang melakukan kemusnahan mesti membayar, mereka yang merompak mesti memulangkan apa yang diambil, dan mereka yang cuba menjatuhkan Republik akan dipertanggungjawabkan,” katanya.
Rusuhan tercetus ketika demonstrasi di seluruh negara pada Sabtu, yang menurut pihak berkuasa menghimpunkan 550,000 orang, manakala penganjur menganggarkan jumlah kehadiran mencecah 800,000 orang.
Beberapa bandar utama turut terjejas akibat pertempuran dan kegiatan merompak.
Dewan bandar bersejarah di Limoges musnah dalam kebakaran, pejabat pelancongan Lyon diserang dan dibakar, manakala sekumpulan perusuh menyerbu dewan bandar Marseille.
Kediaman rasmi pegawai wilayah di Bordeaux turut dilaporkan digeledah.
“Tiada apa-apa yang boleh membenarkan, menjelaskan atau memaafkan tindakan ini. Kita semua berasa marah dan malu malam ini,” kata Macron sambil menyatakan sokongan kepada anggota polis, pegawai tempatan dan pemilik perniagaan yang terjejas.
Beliau mengarahkan pegawai wilayah bekerjasama dengan datuk bandar bagi melindungi bangunan awam serta premis perniagaan, termasuk melarang perhimpunan tertentu jika perlu.
Perdana Menteri, Sebastien Lecornu, pula akan menyelaras bantuan kecemasan kepada perniagaan dan komuniti terjejas.
Macron turut mengaitkan kemarahan rakyat dengan kesan ekonomi perang di Iran yang didakwanya menyumbang kepada kenaikan kos tenaga, meskipun Perancis tidak terlibat dalam pertempuran berkenaan.
Beliau berkata akan mengunjungi negara-negara Teluk pada Isnin bagi membantu menjamin bekalan bahan api dan gas untuk Perancis, sementara kerajaan berusaha mengurangkan tekanan harga terhadap pengguna.
Demonstrasi itu menghimpunkan kesatuan sekerja, pelajar dan penyokong gerakan Jaket Kuning.
Bantahan yang pada awalnya berkaitan kekurangan guru serta kemerosotan keadaan sekolah kemudian berkembang menjadi gerakan nasional menentang peningkatan kos isi rumah, ketidaksamaan dan perbelanjaan kerajaan.
Rusuhan berkenaan turut meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Macron menjelang pilihan raya presiden Perancis 2027, dengan Datuk Bandar Paris, Lyon dan Marseille menuntut penjelasan mengenai pengendalian polis sepanjang demonstrasi itu.-VIORY