
QUITO, 29 Ogos – Mahkamah Kebangsaan Ecuador mendapati bekas Presiden Ecuador, Lenin Moreno didapati bersalah atas kesalahan rasuah berkaitan pembinaan loji hidroelektrik terbesar di negara itu, Coca Codo Sinclair.
- Ketua panel hakim Manuel Cabrera berkata tindakan Moreno selaras dengan pertuduhan rasuah terhadap seorang pegawai awam.
- Isteri dan anak perempuan Moreno turut didapati bersalah dalam kes yang sama.
- Pendakwaan mendakwa Sinohydro membayar sekitar AS$76.1 juta antara 2009-2018, disalurkan melalui akaun luar negara dan syarikat proksi.
- Moreno, yang menafikan semua dakwaan, kembali dari Paraguay untuk menghadapi perbicaraan.
Ketua panel hakim, Manuel Cabrera ketika membacakan keputusan berkata tindakan Moreno selaras dengan pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadap seorang pegawai awam.
Isteri dan anak perempuan Moreno turut didapati bersalah dalam kes sama.
Siasatan yang dilancarkan pada Mac 2023 mengaitkan Moreno, anggota keluarganya serta beberapa rakan perniagaan tempatan dan China dengan rangkaian rasuah yang didakwa berkaitan projek Coca Codo Sinclair.
Projek berkenaan mula beroperasi pada 2016, namun berdepan pelbagai masalah teknikal sejak itu.
Menurut pendakwa raya, syarikat China, Sinohydro, didakwa membayar kira-kira AS$76.1 juta dalam bentuk rasuah antara 2009 hingga 2018 melalui kontrak perundingan palsu.
Dana itu didakwa disalurkan menerusi melalui akaun bank di luar negara dan syarikat proksi yang beroperasi di negara perlindungan cukai, sebelum diberikan kepada keluarga serta sekutu perniagaan Moreno.
Pendakwaan mendakwa Moreno dan anggota keluarga terdekatnya menerima lebih AS$1 juta ketika beliau berkhidmat sebagai Naib Presiden Ecuador dari 2007 hingga 2013.
Pendakwa raya sebelum ini memohon hukuman penjara lebih enam tahun terhadap Moreno dan 19 lagi tertuduh.
Bagaimanapun, Moreno, 73, terus menafikan semua dakwaan dan menegaskan beliau tidak terlibat dalam menandatangani atau menyelia kontrak projek berkenaan.
Moreno yang menjadi presiden Ecuador dari 2017 hingga 2021 kembali ke negara itu dari Paraguay bagi menghadapi perbicaraan.