
SERI KEMBANGAN, 29 Ogos – Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) wanita Bawah 18 tahun (B-18) negara menyasarkan kedudukan tiga terbaik pada Kejohanan Ragbi Asia Emirates 7 Sebelah Bawah 18 Tahun 2026 yang dijadualkan berlangsung di Qingdao, China pada 5 dan 6 September ini.
- Jurulatih Rozliana yakin persiapan rapi beri peluang baik untuk baiki pencapaian tempat ketujuh edisi terdahulu.
- Sebagai ketua jurulatih buat pertama kali, beliau optimis dengan pemain terpilih hasil prestasi cemerlang di SUKMA dan NRDP.
- Fokus latihan pada permainan pantas dan hantaran cepat, serta memperkukuh aspek mental walaupun kurang pendedahan antarabangsa.
Ketua Jurulatihnya, Rozliana Mohd Ridwan menyifatkan sasaran itu realistik susulan persiapan rapi pasukan, selain bertekad mahu memperbaiki pencapaian tempat ketujuh yang diraih pada edisi terdahulu.
Meskipun membuat kemunculan sulung selaku ketua jurulatih skuad wanita B-18, beliau optimis dengan kemampuan barisan pemain yang dipilih menerusi prestasi cemerlang pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) baru-baru ini serta Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP).
“Untuk persiapan, tidak banyak masalah dari segi asas. Fokus utama kami sekarang adalah untuk meningkatkan pemahaman corak permainan dan memantapkan sistem yang akan digunakan di kejohanan itu nanti.
“Melihat kepada kualiti pemain, kami mahu menerapkan taktik permainan pantas dengan hantaran bola yang cepat. Saya harap mereka dapat laksanakan strategi ini dengan berkesan menentang lawan di sana,” katanya pada sesi kem latihan di sini.
Mengulas mengenai aspek mental, Rozliana mengakui cabaran utama adalah kekurangan pendedahan antarabangsa bagi kategori umur tersebut.
“Namun beliau kagum dengan semangat juang dan keinginan tinggi yang dipamerkan anak buahnya.
“Walaupun mereka kurang pendedahan luar, tetapi apabila peluang ini diberikan, mereka menunjukkan keinginan yang sangat luar biasa.
“Mereka cepat belajar dan menangkap apa yang diterapkan dalam latihan, itu memudahkan kerja saya,” tambahnya lagi.
Skuad negara dijadualkan berlepas ke China pada Khamis ini bagi menghadapi kejohanan berkenaan.