
SERI KEMBANGAN, 29 Ogos – Selepas sekadar menduduki tempat kelima pada edisi tahun lalu, skuad ragbi tujuh sebelah (7s) B-18 lelaki negara kini tampil dengan misi memburu kedudukan podium pada Kejohanan Asia Rugby Emirates 7 Sebelah Bawah 18 Tahun (U18) di Qingdao, China, 5 dan 6 September ini.
- Skuad berada pada tahap persediaan tertinggi selepas peningkatan ketara dalam fasa kedua kem latihan pusat di UPM.
- Kehadiran 10 pemain SUKMA meningkatkan kualiti permainan, keserasian pasukan dan intensiti latihan.
- Tumpuan taktikal pada kepantasan, strategi berpasukan, kreativiti dan kecergasan; China dan Sri Lanka dijangka pencabar terdekat.
Ketua Jurulatihnya, Mohd Syahir Asraf Rosli berkata skuad negara kini berada pada tahap persediaan tertinggi selepas menunjukkan peningkatan ketara dalam fasa kedua kem latihan pusat yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau berkata kehadiran 10 pemain yang baru selesai menggalas cabaran pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor turut memberi suntikan positif kepada skuad, khususnya dari segi kualiti permainan, keserasian serta intensiti latihan.
“Saya nampak ada peningkatan yang sangat baik daripada fasa satu ke fasa kedua, terutamanya apabila kita mendapat khidmat pemain berpotensi hasil pemantauan beberapa kejohanan, khususnya SUKMA.
“Kehadiran 10 pemain SUKMA ini telah meletakkan satu standard dan suasana kem latihan yang sangat positif. Saya yakin mereka mampu memberi saingan sengit dan menunjukkan kebolehan sebenar di peringkat Asia nanti,” katanya ketika ditemui di kem latihan di sini.
Mengulas persiapan taktikal, Syahir berkata tumpuan diberikan kepada kepantasan permainan dan strategi berpasukan, selain mengakui barisan pemainnya kini mempamerkan kreativiti tinggi serta berada pada tahap kecergasan terbaik.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah China, Sri Lanka dan Uzbekistan bagi kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu.
Beliau turut menambah China dan Sri Lanka dijangka menjadi pencabar terdekat Malaysia memandangkan kedua-dua pasukan mempunyai program pembangunan ragbi 7s yang tersusun.
“Sasaran tahunan kita adalah untuk kelompok tiga terbaik atau mara ke perlawanan akhir. Tahun lepas kita menduduki tempat kelima selepas diundi dalam kumpulan maut.
“Tahun ini, saya berharap pemain mempunyai kejelasan terhadap sasaran kita untuk kembali memburu kedudukan podium.