Sabah FC tewaskan Penang 2-0, Sang Badak raih kemenangan di laman sendiri

Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail (kiri) dan Ketua Jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido / Foto RTM

KOTA KINABALU, 28 Ogos – Sabah FC meraih kemenangan pertama di laman sendiri selepas menewaskan Penang FC 2-0 dalam aksi Liga Super Malaysia di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gonzalo Di Renzo dan Hanafie Tokyo menjaringkan gol pada minit ke-40 dan ke-53.
  • Juan Torres puji pemain yang menyesuaikan diri dengan cuaca dan pelan permainan, ubah pendekatan selepas rehat.
  • Wan Rohaimi kesal kelekaan pada penghujung separuh masa pertama, kesilapan membuat keputusan dan penyudah kurang berkesan.
  • Jadual padat tiga perlawanan dalam tujuh hari, skuad kecil dan kecederaan jadi cabaran mengekalkan kecergasan.

Dua gol menerusi Gonzalo Di Renzo pada minit ke-40 dan Hanafie Tokyo pada minit ke-53 memastikan tiga mata menjadi milik skuad Sang Badak dalam perlawanan yang berlangsung dalam keadaan cuaca mencabar.

Di Renzo memecah kebuntuan lima minit sebelum tamat separuh masa pertama selepas memanfaatkan peluang yang terhidang untuk meletakkan Sabah di depan.

Sabah kemudian menggandakan kelebihan lapan minit selepas babak kedua bermula menerusi Hanafie Tokyo, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Penang untuk mengejar ketinggalan.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido, menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil keupayaan pemain menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca selain melaksanakan pelan permainan yang dirancang.

Katanya, Sabah mempamerkan permainan lebih baik pada separuh masa pertama sebelum mengubah pendekatan selepas rehat bagi menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan cuaca.

“Secara keseluruhan, kami bermain dengan baik dan mempunyai pelan permainan. Kami menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca pada separuh masa pertama dan pendekatan berbeza pada separuh masa kedua. Ini petanda baik untuk pasukan menjadi lebih mantap dalam situasi berbeza,” katanya.

Bagaimanapun, Juan mengakui masih banyak aspek permainan Sabah FC yang perlu diperbaiki, terutama selepas pasukan itu baru mengharungi dua perlawanan liga.

Sabah FC kini berdepan jadual padat apabila perlu mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari, termasuk pertemuan sukar menentang Selangor.

Juan turut mengakui cabaran besar menanti pasukannya susulan jumlah pemain yang terhad, selain beberapa pemain mengalami kecederaan.

Katanya, Sabah FC mempunyai skuad yang kecil berbanding kebanyakan pasukan lain dan pihaknya akan menilai keadaan pemain bagi memastikan mereka kekal cergas sepanjang tempoh jadual padat itu.

Kemenangan berkenaan bagaimanapun memberi suntikan keyakinan kepada Sabah FC untuk meneruskan momentum dalam saingan liga, terutama menjelang aksi seterusnya di laman sendiri.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail, mengakui pasukannya dihukum akibat kelekaan pada penghujung separuh masa pertama, selain kesilapan membuat keputusan yang menyumbang kepada gol kedua Sabah.

Menurutnya, cuaca bukan alasan utama kekalahan Penang, sebaliknya angin kencang menjadi antara cabaran yang dihadapi pasukannya, terutama pada separuh masa pertama.

“Saya tidak mahu menjadikan cuaca sebagai alasan, tetapi sedikit kelekaan pada lima minit terakhir separuh masa pertama menyebabkan kami dihukum dengan gol yang mudah.

“Pada separuh masa kedua, kami cuba bangkit, tetapi satu lagi kesilapan dalam membuat keputusan oleh pemain saya menjadi punca kepada gol kedua Sabah,” katanya.

Wan Rohaimi berkata Penang FC mempunyai beberapa peluang untuk merapatkan jurang, namun penyudah yang kurang berkesan menyebabkan peluang berkenaan gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.