
KUALA NERUS, 29 Ogos – Terengganu FC (TFC) tewas 0-3 kepada Selangor FC (SFC) dalam aksi Liga Super 2026/2027 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam tadi.
- Lebih 11,000 penonton menyaksikan kedua pasukan bermula dengan permainan agresif mencari jaringan pembukaan.
- Selangor membuka jaringan pada minit ke-58 melalui Kay Sheku Tejan selepas terus meningkatkan tekanan babak kedua.
- Chrigor Flores Moraes menggandakan kelebihan pada minit ke-62 dan menambah jaringan pada minit ke-91.
- Ketua jurulatih Mohd Nafuzi meluahkan sedikit kecewa tetapi bangga dengan usaha pemain dan yakin prestasi akan meningkat.
Disaksikan lebih 11,000 peminat, kedua-dua pasukan tampil agresif sejak awal permainan dengan saling mengatur serangan bagi mencari jaringan pembukaan.
Selangor hampir memecah kebuntuan pada minit ke-43, namun percubaan mereka tersasar.
Memasuki babak kedua, Selangor terus meningkatkan tekanan sebelum membuka jaringan pada minit ke-58 menerusi sepakan penyerang utama, Kay Sheku Tejan.
Lima minit kemudian, Selangor menggandakan kelebihan pada minit ke-62 menerusi Chrigor Flores Moraes.
TFC cuba bangkit dengan beberapa gerakan serangan, namun gagal menembusi benteng pertahanan Selangor. Selangor terus menguasai permainan hingga penghujung perlawanan sebelum Chrigor sekali lagi mencipta jaringan pada minit ke-91.
Keputusan akhir menyaksikan TFC tewas 0-3 kepada Selangor FC.
Sementara itu, Ketua Jurulatih TFC, Mohd Nafuzi Mohd Zain, meluahkan rasa sedikit kecewa dengan prestasi pasukannya.
“Sepatutnya itulah corak permainan yang kita mahukan. Namun, dari segi kesungguhan dan usaha yang ditunjukkan pemain, saya berbangga kerana kita tahu pasukan ini masih baharu dibentuk dan mungkin memerlukan sedikit masa.
“Tapi, saya yakin dengan kualiti yang dimiliki pasukan dan pemain, kita mampu meningkatkan prestasi pada masa akan datang”, katanya.