
JOHOR BAHRU, 28 Ogos – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bakal mengetuai pasukan Royal Johor dalam saingan Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026 yang berlangsung di Padang Polo Diraja, Istana Pasir Pelangi, bermula 1 September ini.
- Kejohanan polo antarabangsa berstatus 22 gol, mempertemukan lima pasukan elit termasuk Temasik, Digital Bridge, JCorp dan Korea Polo.
- Kelab Polo Diraja Johor menyediakan 190 ekor kuda dari Johor dan mengagihkannya secara adil kepada semua pasukan.
- JSCPT berinspirasikan "Legacy In Motion" dengan matlamat mengangkat warisan Diraja dan memposisikan Johor sebagai destinasi polo bertaraf dunia.
Kejohanan polo antarabangsa berstatus 22 gol itu mempertemukan lima pasukan elit, termasuk Royal Johor dan Temasik, dalam penganjuran sulung yang dijangka menjadi antara kejohanan polo bertaraf tertinggi pernah dianjurkan di Malaysia.
Wakil Kelab Polo Diraja Johor, David Hunt berkata, kejohanan berkenaan dijangka berlangsung sengit dengan semua pasukan dibekalkan kuda dari Johor yang diagihkan secara adil.
“Saya berpendapat kejohanan ini akan berlangsung dengan sangat sengit. Semua kuda yang beraksi pada kejohanan ini adalah dari Johor, tetapi kami mengagihkannya secara adil kepada semua pasukan yang bertanding.
“Penonton akan menyaksikan aksi menarik dengan semangat kesukanan yang tinggi. Kemudahan yang disediakan juga merupakan antara yang terbaik di dunia,” katanya pada sidang media sempena penganjuran JSCPT 2026 di Rumah Kelab Polo Diraja Johor, Istana Pasir Pelangi, di sini.
Sebanyak 190 ekor kuda disediakan Kelab Polo Diraja Johor untuk kegunaan kesemua pasukan yang bertanding sepanjang kejohanan.
Selain Royal Johor dan Temasik, saingan turut disertai Digital Bridge, JCorp dan Korea Polo.
Kejohanan yang berlangsung sehingga 6 September itu menghimpunkan barisan pemain polo bertaraf antarabangsa, termasuk Pablo Pieres, Nachi Du Plessis dan Juan Martín Nero.
JSCPT 2026 merupakan cetusan ilham Tunku Mahkota Ismail bersama ikon polo dunia, Polito Pieres, dengan matlamat meletakkan Johor sebagai antara destinasi utama dalam litar polo antarabangsa.
Penganjuran sulung itu turut mengangkat tema “Legacy In Motion” yang menampilkan warisan Diraja Johor menerusi sukan bertaraf antarabangsa, selain memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf dunia.
JSCPT 2026 turut menampilkan Malam Gala dan perlawanan akhir secara eksklusif kepada jemputan khas, manakala aksi kejohanan akan disiarkan secara langsung untuk tontonan peminat polo di seluruh dunia.