Program rintis bas sekolah Labuan beri manfaat kepada lebih 400 pelajar

Hannah Yeoh

LABUAN, 28 Ogos – Seramai 437 pelajar daripada enam sekolah di sini akan menerima manfaat program rintis, Program Bas Sekolah @ Wilayah Persekutuan Labuan bermula 1 September hingga 31 Disember.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menyediakan RM174,800 bagi fasa pertama dan bantuan hingga RM100 sebulan bagi setiap murid melalui kerjasama pengusaha bas mini sedia ada.
  • Masalah pengangkutan dikenalpasti punca utama ketidakhadiran, bukan keengganan pelajar untuk belajar.
  • Menteri Hannah Yeoh menekankan kepentingan pengangkutan konsisten untuk memastikan pelajar dapat hadir dan meneruskan pembelajaran.
  • Keberkesanan fasa pertama akan dinilai berdasarkan penggunaan bas dan rekod kehadiran sebelum pertimbangan perluasan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kerajaan menyediakan RM174,800 bagi fasa pertama program itu selain bantuan sehingga RM100 sebulan bagi setiap murid, menerusi kerjasama pengusaha bas mini sedia ada.

Sebelum itu, seramai 989 pelajar daripada 25 sekolah harian di Labuan dikenal pasti tidak hadir ke sekolah akibat masalah pengangkutan bagi tempoh Januari hingga Julai lalu.

Perkara itu bukan berpunca daripada keengganan pelajar untuk belajar, sebaliknya disebabkan tidak mempunyai pengangkutan untuk ke sekolah.

“Bayangkan seorang anak sudah bersiap dengan uniform sekolah, beg dan buku semuanya sudah tersedia. Apa yang diperlukan hanyalah pengangkutan yang konsisten untuk memastikan mereka dapat hadir ke sekolah dan meneruskan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis peluncuran Program Bas Sekolah @ Wilayah Persekutuan Labuan, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lajau di sini.

Fasa pertama program rintis berkenaan melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara, SMK Lajau, SMK Pantai, SMK Labuan, Sekolah Kebangsaan (SK) Bebuloh dan SMK Taman Perumahan Bedaun.

Bagaimanapun keberkesanan program akan dinilai berdasarkan penggunaan bas dan rekod kehadiran pelajar sebelum dipertimbang untuk diperluas ke sekolah lain tahun depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.