
PUTRAJAYA, 28 Ogos – Penasihat Kesatuan Guru Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Haji Che Awang Al-Makki, yang juga Tokoh Turath Islam, dilantik sebagai Profesor Adjung Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) selama dua tahun berkuat kuasa 1 Ogos lalu.
- Pengiktirafan tinggi terhadap institusi pondok sebagai titik permulaan memperluas penyebaran ilmu agama.
- Kerjasama antara institusi pondok, kerajaan dan universiti penting untuk memperkasa serta memperkukuh kedudukan turath dan pondok.
- Mempunyai pengalaman lebih tiga dekad, pendidikan awal di Mekah, dan ijazah dari Kolej Islam serta Universiti Karachi.
- Dipilih penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2025 kategori Agamawan dan Kepimpinan Dakwah.
Majlis penyerahan surat pelantikan itu disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, di Putrajaya.
Dr. Zulkifli berkata, pelantikan berkenaan merupakan satu pengiktirafan tinggi serta penghormatan besar terhadap institusi pondok di Malaysia, selain menjadi titik permulaan dalam usaha memperluaskan penyebaran ilmu agama kepada masyarakat.
Menurutnya, kerjasama antara institusi pondok, kerajaan dan institusi pengajian tinggi penting dalam memperkasa serta memperkukuh kedudukan institusi turath dan pondok di negara ini.
“Kerjasama yang sangat baik antara institusi pondok, kementerian dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan kita sinergikan dengan universiti sebagai salah satu usaha dan inisiatif untuk memperkasa serta memperkukuh lagi institusi turath dan institusi pondok kita.
“Insya-Allah, di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kami akan terus memberikan sokongan serta merangka dan merencana strategi untuk memperkasa perkara ini,” katanya.
Syeikh Wazir, 78, mendapat pendidikan awal di Madrasah Darul Ulum Addiniyah di Mekah selepas bermastautin di Tanah Suci, sejak berusia 11 tahun.
Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian peringkat menengah di Madrasah Rahmaniah Mutawasitah dan Madrasah Saulatiyah Ahnawi A’li sebelum kembali ke tanah air pada 1980.
Sejak itu, beliau aktif sebagai tenaga pengajar dan pendakwah, khususnya di Kelantan, sehingga kini.
Syeikh Wazir turut memiliki Ijazah Sarjana Muda dari Kolej Islam Karachi serta Sarjana dalam bidang Sosiologi Islam dari Universiti Karachi, Pakistan.
Beliau merupakan seorang pendidik dan cendekiawan Islam yang dihormati, dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang pendidikan dan dakwah.
Atas sumbangan dalam bidang berkenaan, beliau turut dipilih sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2025M/1447H bagi kategori Agamawan dan Kepimpinan Dakwah.
Sementara itu, Syeikh Wazir menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu permulaan penting ke arah mengangkat institusi pondok ke tahap yang lebih tinggi.
“Mudah-mudahan ini menjadi satu permulaan untuk menaik taraf institusi pondok ini ke peringkat yang lebih tinggi, insya-Allah,” katanya.