
PEKAN, 27 Ogos – Pemimpin muda institusi pengajian tinggi (IPT) perlu tampil sebagai rakan strategik kerajaan dalam membentuk masa depan pendidikan tinggi negara yang mampan, inklusif dan berdaya saing.
- Pemimpin muda IPT harus bukan sekadar pelaksana dasar, tetapi menyumbang idea, pandangan dan kepimpinan.
- AKEPT perlu sediakan kepimpinan peringkat universiti untuk memacu pembangunan pendidikan tinggi yang berdaya saing.
- Program seperti Kembara KARISMA dan Townhall mengukuhkan libat urus dua hala serta melahirkan pemimpin muda profesional dan inklusif.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata golongan berkenaan tidak seharusnya dilihat hanya sebagai pelaksana dasar, sebaliknya perlu memainkan peranan lebih besar menerusi idea, pandangan dan kepimpinan dalam pembangunan pendidikan tinggi.
“Ini sudah tujuannya ialah untuk membangunkan kerana universiti itu perlu ada kepimpinannya. Maka AKEPT yang bertanggungjawab menyediakan kepimpinan di peringkat universiti”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyantuni 500 pensyarah dan pentadbir muda berusia 40 tahun ke bawah dari Pahang, Terengganu dan Kelantan menerusi Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI Zon Timur 2026 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pekan.
Program anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) itu menjadi platform libat urus dua hala antara kepimpinan kementerian dengan pemimpin muda IPT, termasuk melalui sesi Townhall bersama Menteri Pendidikan Tinggi.
Program berkenaan turut melibatkan pensyarah dan pentadbir muda daripada universiti awam, universiti swasta, politeknik serta kolej komuniti.
Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI dilihat memperkukuh usaha melahirkan barisan pemimpin muda IPT yang bukan sahaja memiliki kecemerlangan profesional, malah mampu menjadi rakan strategik kerajaan dalam memacu agenda pendidikan tinggi negara.