
KUCHING, 27 Ogos – Semua institusi pendidikan bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah Lubok Antu ditutup sementar aberkuat kuasa serta-merta pada Jumaat (esok).
- Penutupan dibuat selepas bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencatat paras sangat tidak sihat setakat pukul 8.00 malam.
- Penutupan melibatkan 28 sekolah rendah dan dua sekolah menengah, membabitkan 4,035 murid.
- Institusi pendidikan dinasihatkan rujuk APIMS JAS, patuhi saranan KKM serta Surat Siaran KPM (2019 dan 2023) untuk keselamatan murid.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak menerusi kenyataan memaklumkan, penutupan tersebut dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang mencapai paras sangat tidak sihat setakat pukul 8.00 malam tadi.
“Penutupan ini melibatkan 28 buah sekolah rendah dan dua buah sekolah menengah, dengan keseluruhan 4,035 murid.
“Cuaca panas yang melanda negara juga turut menyebabkan beberapa lokasi di Sarawak menunjukkan bacaan IPU pada paras tidak sihat,” menurut kenyataan itu.
Institusi pendidikan juga perlu peka dengan perkembangan semasa dengan merujuk kepada Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Air Pollutant Index Management System (APIMS) bagi memantau tahap IPU di kawasan atau daerah masing-masing serta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid dan warga institusi pendidikan.
Pihak sekolah juga diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan serta merujuk kepada Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2019; Langkah-Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bagi Menjamin Kesihatan Dan Keselamatan Murid-Murid Di Sekolah-Sekolah Yang Berada Dalam Kawasan Berjerebu Yang Dianggap Kritikal bertarikh 15 Januari 2019 dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa.
Semua institusi pendidikan bawah seliaan JPN Sarawak dinasihatkan agar sentiasa mematuhi garis panduan seperti yang terkandung dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 3 Tahun 2023; Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Luar Institusi Pendidikan Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia Semasa Cuaca Panas bertarikh 6 Jun 2023.
JPN Sarawak sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca di luar jangkaan.
Sebelum itu, JAS menerusi laporan status kualiti udara dan jerebu dalam negara pada pukul 7.00 malam tadi memaklumkan, 10 kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Bacaan tertinggi direkodkan di Sarawak iaitu 157 melibatkan Sri Aman dan IPD Serian. Kemudian diikuti Cheras, Kuala Lumpur (156); Johan Setia, Selangor (153) dan Nilai, Negeri Sembilan (138).
Di Putrajaya dan Shah Alam masing-masing merekodkan bacaan 127; Batu Muda, Kuala Lumpur (114); Seremban, Negeri Sembilan (110) dan Sungai Petani Kedah (106).