
KATHMANDU, 27 Ogos – Seramai 55 rakyat Malaysia masih terputus hubungan susulan banjir besar yang melanda daerah Rasuwa, Nepal, awal pagi Rabu, manakala angka korban akibat bencana itu meningkat kepada 165 orang.
- Pihak berkuasa Nepal menggerakkan seluruh jentera penyelamat untuk mencari dan menyelamat, memberi fokus kepada mangsa cedera parah.
- Operasi berdepan cabaran akibat kerosakan infrastruktur, termasuk jalan raya dan sistem komunikasi.
- Jalan sepanjang kira-kira 40 kilometer dilaporkan rosak teruk; helikopter menjadi satu-satunya cara mencapai kawasan terjejas.
- Kedutaan Malaysia berhubung rapat dengan hospital Kathmandu dan meminta orang awam hubungi kedutaan melalui emel untuk maklumat.
Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Mohd Firdaus Azman, berkata pihaknya sedang berusaha mendapatkan perkembangan terkini mengenai keselamatan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
Beliau berkata, pihak berkuasa Nepal kini menggerakkan seluruh jentera penyelamat bagi mempergiat operasi mencari dan menyelamat mangsa, terutama mereka yang cedera parah untuk dibawa ke Kathmandu bagi mendapatkan rawatan.
“Buat masa ini pihak berkuasa Nepal telah mengarahkan seluruh jentera penyelamat dan pihak berkuasa untuk mencari mereka yang cedera parah dan mereka ini dibawa ke Kathmandu,” katanya.
Mohd Firdaus berkata demikian kepada Pengarah Pembangunan Strategik Jabatan Penyiaran Malaysia, Fairuz Mohd Radzi, yang berada di Kathmandu bagi menghadiri Mesyuarat Agung Institut Pembangunan Penyiaran Asia-Pasifik (AIBD) Ke-24.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat berdepan beberapa cabaran berikutan kerosakan infrastruktur, termasuk jalan raya dan sistem komunikasi di kawasan terjejas.
Katanya, jalan raya sepanjang kira-kira 40 kilometer di kawasan bencana dilaporkan mengalami kerosakan teruk sehingga tidak dapat dilalui, menyebabkan helikopter menjadi satu-satunya kaedah untuk sampai ke lokasi berkenaan.
“Oleh sebab demikian, pihak berkuasa Nepal telah memberikan fokus bagi mencari mereka yang cedera parah dan mereka ini dibawa ke hospital di Kathmandu untuk tujuan rawatan,” katanya.
Dalam pada itu, pihak Kedutaan Malaysia di Kathmandu turut berhubung rapat dengan hospital utama di ibu negara Nepal bagi mengenal pasti sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang ditemukan dan dibawa mendapatkan rawatan.
Mohd Firdaus berkata, usaha berkenaan penting memandangkan kekangan komunikasi dengan mereka yang berada di kawasan terjejas menyukarkan pihak kedutaan mendapatkan maklumat secara langsung.
Beliau turut meminta rakyat Malaysia yang sedang berusaha mengesan keluarga, saudara-mara atau rakan yang berada di kawasan bencana supaya menghubungi Kedutaan Malaysia di Kathmandu melalui e-mel yang disediakan.