India anjur sidang kemuncak pemimpin BRICS bulan depan

Foto Reuters

NEW DELHI, 27 Ogos – India akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi pada 12 dan 13 Sept, menurut kenyataan rasmi pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemimpin BRICS akan bertukar pandangan untuk memperkukuh kerjasama dalam keutamaan bersama serta berkongsi perspektif mengenai isu global dan serantau.
  • Sepanjang kepengerusian India, lebih 350 mesyuarat dan libat urus peringkat tinggi diadakan di lebih 25 bandar bagi memperkukuh perkongsian strategik.
  • BRICS kini 11 anggota; blok mewakili lebih 40 peratus populasi dunia dan lebih 32 peratus KDNK global, perdagangan sesama anggota melebihi US$1 trilion.

Kementerian Luar India berkata sidang kemuncak itu akan menghimpunkan pemimpin negara anggota dan rakan BRICS serta jemputan luar.

Menurut kementerian itu, para pemimpin akan bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara BRICS berkaitan keutamaan bersama, selain berkongsi perspektif mengenai isu global dan serantau yang menjadi kepentingan bersama.

India berkata sepanjang tempoh kepengerusiannya tahun ini, lebih 350 mesyuarat dan libat urus peringkat tinggi telah diadakan di lebih 25 bandar di seluruh negara bagi memperkukuh perkongsian strategik BRICS.

“Kepengerusian India dalam BRICS telah menyumbang kepada usaha memajukan kerjasama BRICS menerusi hasil yang praktikal dan berorientasikan pembangunan,” menurut kementerian itu.

India kini memegang jawatan pengerusi BRICS, blok 11 anggota yang pada mulanya dikenali sebagai BRIC dan dianggotai Brazil, Rusia, India serta China.

Afrika Selatan menyertai blok itu pada 2010, manakala beberapa negara lain turut menyertainya pada tahun-tahun berikutnya termasuk Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ethiopia, Indonesia dan Iran.

Secara keseluruhan, negara BRICS mewakili lebih 40 peratus daripada populasi dunia dan lebih 32 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global, manakala nilai perdagangan sesama anggota melebihi US$1 trilion pada 2025.- BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.