Human Graphic tampil kelainan, 1,500 murid sedia gegarkan Dataran Merdeka

Foto RTM

PUTRAJAYA, 27 Ogos – Persiapan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya semakin rancak dengan penglibatan 1,500 murid daripada 36 sekolah di Selangor yang akan menjayakan persembahan Human Graphic pada 31 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persiapan Human Graphic hampir selesai, latihan bermula dua bulan lalu dan kini capai 98 peratus kesiapsiagaan.
  • Tahun ini tampil kelainan dengan segmen pergendangan dan permainan kompang hasil kerjasama JPN Selangor dan JKKN.
  • Penglibatan murid memberi peluang menghayati erti kemerdekaan serta mensyukuri kesejahteraan yang dinikmati rakyat Malaysia.

Jurulatih Utama Persembahan Human Graphic, Ammar Ahmed berkata, persiapan yang dimulakan kira-kira dua bulan lalu kini hampir selesai selepas peserta menjalani latihan ‘Training of Trainers’ (TOT) dan latihan mengikut kelompok sebelum berkumpul di Putrajaya.

“Boleh dikatakan persiapan kita sudah 98 peratus dan kini hanya berbaki dua peratus lagi untuk kita berikan sepenuhnya tenaga dalam persembahan pada sambutan Hari Kebangsaan nanti,” katanya ketika ditemui RTM.

Menurut Ammar, persembahan tahun ini turut menampilkan kelainan apabila murid bukan sahaja membentuk visual seperti sebelum ini, malah terlibat dalam segmen pergendangan hasil kerjasama JPN Selangor dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

“Selain Human Graphic yang dipersembahkan pada tahun-tahun sebelum ini, kali ini kita tampilkan kelainan menerusi segmen pergendangan, dengan murid-murid terlibat secara langsung dalam persembahan permainan kompang,” jelasnya.

Ammar juga berkata, penglibatan murid dalam sambutan berkenaan bukan sekadar membabitkan gerakan dan persembahan, tetapi turut memberi peluang kepada mereka menghayati erti kemerdekaan serta mensyukuri kesejahteraan yang dinikmati rakyat Malaysia.

Sementara itu, sesi raptai Hari Kebangsaan 2026 berlangsung selama empat hari dari 26 hingga 29 Ogos, dengan kira-kira 80,000 pengunjung dijangka hadir menyaksikan persiapan sambutan di Dataran Putrajaya.

Raptai turut membabitkan 10,819 peserta daripada 77 kontinjen bagi acara perarakan dan perbarisan, selain 328 aset, 22 kenderaan elektrik (EV), 112 aset hidup, 22 pasukan pancaragam dan 11 kereta berhias.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.