
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Keadaan bekalan peranti perubatan negara kekal stabil meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik, perubahan landskap perdagangan global serta gangguan rantaian bekalan yang berterusan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penilaian risiko bekalan terkini setakat 5 Ogos menunjukkan sebanyak 81.3 peratus barangan peranti perubatan berada pada tahap risiko rendah, manakala 18.7 peratus lagi dikenal pasti berada pada tahap risiko sederhana dari segi kemungkinan gangguan bekalan.
Menurutnya, perkembangan global ketika ini menunjukkan tekanan terhadap sektor tenaga, logistik dan bekalan bahan input kritikal boleh memberi kesan secara langsung terhadap pengeluaran serta ketersediaan barangan keperluan.
“Ini mengukuhkan lagi kepentingan membina daya tahan sebelum gangguan menjadi lebih serius. Oleh itu, pendekatan Malaysia adalah dengan menggabungkan kepelbagaian yang lebih besar bersama keupayaan domestik yang lebih kukuh.
“Kita akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa yang dipercayai sambil membina keupayaan dalam negara bagi aspek teknologi, kejuruteraan, inovasi dan pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2026, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk muncul sebagai hab teknologi perubatan serantau yang lebih berdaya saing, disokong sektor pembuatan yang mantap, keupayaan perindustrian, kesalinghubungan antarabangsa, institusi kawal selia, bakat serta ekosistem inovasi yang semakin berkembang.
“Kita akan terus mengambil bahagian dalam rantaian nilai global serta mengalu-alukan teknologi dan pelaburan antarabangsa, di samping mewujudkan lebih banyak peluang untuk syarikat, bakat dan harta intelek tempatan berkembang bersamanya,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata usaha memperkukuh ekosistem teknologi perubatan negara memerlukan kerjasama lebih erat antara pakar klinikal, penyelidik, jurutera, pengeluar, pengawal selia, pelabur dan pasaran.
Katanya, pembangunan industri itu juga memerlukan tenaga kerja dan bakat yang berkeupayaan untuk bekerja merentas pelbagai bidang dan disiplin.
Langkah tersebut penting bagi membuka laluan lebih jelas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan untuk berkembang sebagai pembekal khusus, pemaju produk, rakan kongsi teknologi dan pengeksport di peringkat serantau.