AADK, MAG perkukuh kerjasama tangani penyalahgunaan dadah

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Malaysia Aviation Group (MAG) berhasrat memperkukuh kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) baharu bagi membanteras masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga kerja kumpulan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan program pencegahan khusus termasuk TEKAD di premis dan fasiliti MAG untuk cegah penyalahgunaan dadah.
  • Kerjasama memperkasakan peranan MAG, khususnya Malaysia Airlines, dalam program pencegahan dan kesedaran terhadap ancaman bahan terlarang.
  • Langkah proaktif bertujuan menjamin integriti serta tahap keselamatan operasi penerbangan dan mewujudkan persekitaran kerja selamat bebas dadah.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperhebat usaha pencegahan dan pembanterasan penyalahgunaan dadah, selain meningkatkan kesedaran mengenai ancaman bahan terlarang.

Antara fokus utama kerjasama itu ialah pelaksanaan pelbagai program pencegahan khusus, termasuk program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD), di seluruh premis dan fasiliti milik MAG.

“Harapan kita dengan adanya kerjasama ini, kita dapat memperkasa bukan sahaja di peringkat AADK, tetapi dalam masa sama memperkasa peranan MAG, khususnya Malaysia Airlines, dalam program melibatkan pencegahan dadah di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar di Malaysia Airlines Berhad Academy, Sepang, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah, bersama barisan delegasi daripada kedua-dua pihak.

Datuk Ruslin berkata, kerjasama strategik itu diharap dapat memperluaskan pelaksanaan program pencegahan dadah dalam kalangan warga kerja, di samping meningkatkan kesedaran mengenai kesan penyalahgunaan bahan terlarang terhadap individu dan organisasi.

Menurutnya, langkah proaktif itu juga penting bagi menjamin integriti serta tahap keselamatan operasi penerbangan negara, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan bebas daripada ancaman dadah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.