Kemajuan kewangan perlu seiring inovasi, kestabilan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Malaysia perlu memastikan kemajuan sistem kewangan negara tidak hanya tertumpu kepada penggunaan teknologi baharu, sebaliknya turut mengutamakan aspek inovasi, kepercayaan, daya tahan dan kestabilan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemajuan kewangan mesti seiring inovasi, kepercayaan, daya tahan dan kestabilan, bukan hanya tertumpu pada teknologi baharu.
  • Kerjasama pengawal selia, institusi kewangan, penyedia infrastruktur dan pelabur penting untuk memperkukuh asas pasaran dan keyakinan.
  • Inovasi bertanggungjawab dan kepimpinan kawal selia diperlukan untuk meningkatkan kecekapan pasaran, meluaskan akses modal dan menyokong pertumbuhan mampan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan itu penting bagi memperkukuh asas pasaran, meningkatkan kecekapan serta meluaskan akses kepada modal agar Malaysia kekal kompetitif dan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital dan tokenisasi sememangnya akan membuka peluang baharu.

“Namun, nilai sebenar teknologi tersebut bukan terletak pada kebaharuannya, sebaliknya pada potensinya untuk meningkatkan kecekapan pasaran, mengurangkan kekangan dalam transaksi, meluaskan akses serta mewujudkan peluang ekonomi yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pengumuman CIMB berhubung penyelesaian deposit bertoken bagi sukuk bertoken pertama Malaysia di sini, hari ini.

Datuk Seri Amir Hamzah berkata, kerjasama erat antara pengawal selia, institusi kewangan, penyedia infrastruktur pasaran, pelabur institusi, syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC), pengurus aset dan syarikat korporat mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh masa depan kewangan negara.

Menurut beliau, penglibatan pelbagai pemain industri itu turut menunjukkan keyakinan kukuh terhadap pasaran Malaysia serta aspirasi negara untuk membangunkan ekosistem kewangan yang moden dan dinamik.

“Semangat kerjasama ini akan menjadi semakin penting kerana masa depan sektor kewangan tidak boleh dibentuk oleh mana-mana institusi secara bersendirian.

“Ia memerlukan kepimpinan kawal selia, inovasi yang bertanggungjawab, keyakinan pelabur dan yang paling utama, kerjasama erat dalam keseluruhan ekosistem kewangan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.