Tiada tempoh masa tetap untuk sambung rundingan dengan Iran – Trump

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump / Foto fail AFP

WASHINGTON, 27 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak menetapkan tempoh masa untuk menyambung semula rundingan dengan Iran dan tidak tergesa-gesa untuk kembali ke meja rundingan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump kata ekonomi Iran merosot kerana inflasi tinggi, memberi kedudukan kuat kepada AS.
  • Trump percaya tekanan ekonomi dan serangan ketenteraan berkesan capai matlamat AS.
  • Setiausaha Perbendaharaan Bessent umum sekatan baru 'D-Day ekonomi' untuk tingkatkan tekanan dan pengasingan Iran.
  • Presiden Iran Pezeshkian kata tekanan tidak berjaya; Iran sedia runding diplomatik tetapi akan terus bertegas hadapi tekanan.

Menurutnya, AS kini berada dalam kedudukan yang sangat baik kerana ekonomi Iran semakin merosot akibat inflasi yang tinggi.

Trump turut berkata, beliau percaya tekanan ekonomi dan serangan ketenteraan terhadap Iran berkesan dalam mencapai matlamat AS.

Pada Isnin, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, mengancam Iran dengan apa yang disifatkannya sebagai “D-Day ekonomi” menerusi pengumuman beberapa sekatan baharu yang bertujuan meningkatkan tekanan dan mengasingkan negara itu daripada ekonomi antarabangsa.

Bessent turut mendedahkan bahawa Trump menghubungi beberapa pemimpin dunia bagi meminta mereka menghentikan hubungan dengan Iran.

Sementara itu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan, AS tidak akan mencapai apa-apa melalui tekanan ekonomi terhadap negaranya.

Beliau berkata demikian pada Rabu ketika mempengerusikan mesyuarat di Tehran bagi membincangkan perkembangan terkini beberapa petunjuk utama kewangan Iran, termasuk nilai mata wang, pertukaran asing dan sektor kewangan.

Pezeshkian berkata, Iran sememangnya mahu menyelesaikan masalah melalui hubungan diplomatik dan rundingan, namun pada masa sama akan terus bertegas menghadapi tekanan ekonomi seperti yang dilakukan sebelum ini.

Beliau yakin tekanan ekonomi AS tidak akan mencapai matlamatnya terhadap Iran ketika ini, sambil menyatakan kerajaan telah membuat persediaan menerusi sektor ekonomi bagi menghadapi tekanan berkenaan.

Pezeshkian menyamakan keadaan itu dengan perang selama 40 hari yang menurutnya menyaksikan angkatan bersenjata dan rakyat Iran berjaya menghalang AS daripada mencapai matlamatnya menerusi keberanian serta sokongan mereka.

Pertukaran kenyataan itu berlaku ketika ketegangan antara Washington dan Tehran terus meningkat, dengan kedua-dua pihak masih berbeza pendirian mengenai usaha diplomatik serta tekanan ekonomi yang dikenakan terhadap Iran. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.