“Ratu Polka Dot” Jepun, Yayoi Kusama meninggal dunia pada usia 97 tahun

Yayoi Kusama, seniman “avant-garde” Jepun / Foto fail AFP

TOKYO, 27 Ogos – Yayoi Kusama, seniman “avant-garde” Jepun yang terkenal di seluruh dunia dengan motif bintik polka, arca labu dan instalasi cermin yang memukau meninggal dunia akibat kegagalan pelbagai organ di sebuah hospital di Tokyo pada 14 Ogos, menurut yayasan yang ditubuhkan bagi menyokong beliau, lapor Kyodo News pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perintis seni kontemporari dengan kerjaya lebih 60 tahun, diiktiraf di peringkat antarabangsa.
  • Seniman komersial berjaya; pameran menarik pengunjung ramai dan karya sering dilelong pada harga jutaan dolar.
  • Mengalami halusinasi sejak kecil, beliau menggabungkan pengalaman itu dalam karya sebagai kaedah mengatasi ketakutan.
  • Dikenali kerana Infinity Mirror Rooms popular di Instagram, dan membuka Muzium Yayoi Kusama di Shinjuku pada 2017.

Sepanjang kerjaya lebih 60 tahun, Kusama muncul sebagai antara perintis seni kontemporari.

Beliau juga antara seniman paling popular dan berjaya secara komersial, dengan pamerannya menarik pengunjung dalam jumlah besar di seluruh dunia manakala karya lukisannya dilelong pada harga jutaan dolar setiap satu.

Dilahirkan di Wilayah Nagano, Kusama mula mengalami halusinasi sejak kecil dan kemudian menggambarkan pengalaman itu dalam karyanya sebagai cara untuk mengatasi ketakutan.

Selepas mempelajari seni lukis di sebuah sekolah seni di Kyoto, beliau berpindah ke Amerika Syarikat pada 1957 sebelum menetap di New York.

Di sana, Kusama menghasilkan lukisan berskala besar dan arca, selain menganjurkan festival lukisan badan serta pertunjukan fesyen, sebahagiannya sebagai bantahan terhadap Perang Vietnam dan isu sosial lain.

Beliau kembali ke Jepun pada 1973 dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, siri instalasi popular “Infinity Mirror Rooms” yang menawarkan pengalaman pantulan tanpa penghujung kepada pengunjung, meraih populariti global di Instagram.

Pada 2017, Kusama membuka muzium yang didedikasikan kepada karya-karyanya di sebuah kawasan kejiranan berhampiran kediamannya di Wad Shinjuku, Tokyo.

Kusama yang sering tampil dengan rambut palsu berwarna-warni serta pakaian menyerlah bercorak bintik polka, disenaraikan dalam 100 individu paling berpengaruh di dunia oleh majalah TIME pada 2016.

Beliau menerima anugerah “Order of the Rising Sun, Gold Rays with Rosette” oleh kerajaan Jepun pada 2006. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.