Pemimpin Australia tandatangani perjanjian perkukuh undang-undang senjata api

Insiden tembakan di Bondi Beach akhir tahun lalu meragut 15 nyawa./ REUTERS

CANBERRA, 26 Ogos – Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dan pemimpin negeri serta wilayah pada Rabu menandatangani perjanjian untuk memperkukuh undang-undang senjata api susulan serangan pengganas di Bondi Beach, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hanya warganegara Australia dibenarkan memiliki lesen senjata api di bawah Perjanjian Senjata Api Kebangsaan yang dikemas kini.
  • Perjanjian melarang pembuatan senjata menggunakan teknologi cetakan tiga dimensi serta pemilikan dan pengedaran bahan pembuatannya.
  • Kemas kini pertama sejak 2017 bertujuan mengurangkan risiko berkaitan senjata api selepas insiden tembakan Bondi Beach yang meragut 15 nyawa.
  • Pelaksanaan perjanjian ialah satu daripada 14 syor Suruhanjaya Diraja; hanya Wilayah Ibu Negara dan New South Wales setuju skim pembelian balik.

Albanese dan lapan pemimpin negeri serta wilayah dalam kenyataan bersama selepas mesyuarat pada Rabu memaklumkan bahawa hanya warganegara Australia dibenarkan memiliki lesen senjata api di bawah Perjanjian Senjata Api Kebangsaan yang dikemas kini.

Selain itu, mereka memaklumkan perjanjian yang dikemas kini itu melarang pembuatan senjata api menggunakan teknologi cetakan tiga dimensi (3D) serta pemilikan dan pengedaran bahan yang digunakan untuk menghasilkan senjata berkenaan.

Para pemimpin itu memaklumkan kemas kini berkenaan, yang pertama bagi perjanjian itu sejak 2017, akan mengurangkan risiko bahaya berkaitan senjata api susulan insiden tembakan yang meragut 15 nyawa pada satu acara masyarakat Yahudi di Bondi Beach, Sydney pada Disember.

Mengutamakan usaha melaksanakan Perjanjian Senjata Api Kebangsaan yang dikemas kini merupakan satu daripada 14 syor yang dikemukakan Suruhanjaya Diraja mengenai anti-Semitisme dan Perpaduan Sosial dalam laporan interimnya yang diserahkan pada April.

Suruhanjaya itu turut mengesyorkan supaya semua negeri dan wilayah mengutamakan usaha melaksanakan skim pembelian balik senjata api.

Setakat ini, hanya Wilayah Ibu Negara Australia dan negeri New South Wales bersetuju melaksanakan skim pembelian balik berkenaan. – BERNAMA-XINHUA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.