KL CITY didenda, NSFC menang percuma

Foto FB Malaysian Football League

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberikan kemenangan percuma 3-0 serta tiga mata kepada Negeri Sembilan FC (NSFC), susulan kegagalan Kuala Lumpur (KL) City FC menurunkan pasukan lengkap bagi aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • KL City didenda RM50,000 dan diarahkan bayar ganti rugi serta kos berkaitan.
  • KL City hanya mendaftarkan 12 pemain termasuk seorang penjaga gol, melanggar syarat minimum pendaftaran dan peraturan OTP.
  • KL City gagal selesaikan denda FIFA sehingga dikenakan larangan pendaftaran pemain antarabangsa, meskipun diingatkan Unit Pelesenan dan FIB.

Badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu memaklumkan, KL City turut didenda RM50,000 serta diarahkan membayar semua ganti rugi dan kos berkaitan yang diputuskan oleh MFL.

Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL pada Isnin, selepas meneliti semua dokumen, laporan dan maklumat dikemukakan pihak berkaitan, termasuk laporan perubatan daripada hospital kerajaan bertarikh 24 Ogos 2026 yang diserahkan oleh KL City.

Hasil penelitian terhadap keseluruhan fakta dan dokumen serta peruntukan bawah Peraturan Pertandingan Liga-M dan Perlembagaan Liga Bolasepak Malaysia, MFL mendapati KL City gagal menguruskan urusan pendaftaran pemain lebih awal sehingga menyebabkan kelab itu tidak dapat menyediakan pasukan lengkap untuk beraksi menentang NSFC.

“Berdasarkan semakan sistem MyPAS pada Sabtu lepas, KL City FC hanya mendaftarkan 12 pemain, terdiri daripada 11 pemain dan seorang penjaga gol.

“Keadaan itu jelas melanggar Artikel 4.5.7(i) Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2026-2027 yang menetapkan setiap kelab perlu mendaftarkan minimum 15 dan maksimum 20 pemain, termasuk sekurang-kurangnya dua penjaga gol,” menurut kenyataan MFL.

KL City turut didapati gagal mematuhi pekeliling Liga-M bertarikh 29 Jun 2026 berhubung syarat pendaftaran pegawai dan pemain Liga Super 2026-2027 yang menetapkan semua kelab mendaftarkan sekurang-kurangnya 20 pemain, termasuk tiga penjaga gol, sebelum perlawanan pertama musim 2026-2027.

Selain itu, kelab berkenaan didapati melanggar Artikel 3.1.3 Peraturan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP) yang menghendaki kelab melengkapkan Senarai Pemilihan Pasukan dengan 20 pemain, termasuk kesebelasan utama, pemain simpanan dan ketua pasukan, selain 10 pegawai di bangku simpanan.

MFL berkata, Unit Pelesenan Kelab dan badan bebas First Instance Body (FIB) berulang kali mengingatkan KL City supaya menyelesaikan denda dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sehingga menyebabkan kelab itu dikenakan Perintah Larangan Pendaftaran Pemain Antarabangsa, namun kelab berkenaan gagal mengambil tindakan proaktif untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Perlawanan berkenaan tidak dapat dilangsungkan selepas KL City mengemukakan permohonan kepada MFL pada 12.40 tengah hari, Sabtu lepas, berhubung keadaan kesihatan membabitkan 13 pemain dan dua pegawai pasukan yang dilaporkan dijangkiti wabak influenza.

Susulan itu, NSFC mengemukakan surat bantahan kepada MFL dan memohon supaya badan berkenaan membuat semakan menyeluruh serta memberikan keputusan berdasarkan peraturan pertandingan Liga-M.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.