Jerebu: 29 kawasan catat IPU tidak sihat

Foto Fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Ogos – Sebanyak 29 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 2 petang ini, menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Bacaan IPU tertinggi direkodkan di beberapa kawasan termasuk Serian, Johan Setia, Sri Aman, Shah Alam dan Kuching.
  • Asap jerebu dipercayai berpunca daripada titik panas di Kalimantan, Sumatera dan beberapa lokasi dalam negara.
  • JAS meningkatkan penguatkuasaan, mengaktifkan pelan tindakan, menutup sekolah jika IPU melebihi 200 dan menyediakan talian serta aplikasi pemantauan.

Berdasarkan data JAS, bacaan tertinggi direkodkan di IPD Serian, Sarawak pada 182, diikuti Johan Setia, Selangor (173), Sri Aman, Sarawak (170), Shah Alam, Selangor (162) dan Kuching, Sarawak (160).

Kawasan lain yang turut merekodkan bacaan tidak sihat termasuk Sungai Petani, Kedah (153), Seberang Perai (152), Minden (156) dan Balik Pulau (139) di Pulau Pinang, selain beberapa kawasan di Perak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

JAS memaklumkan kualiti udara dalam negara didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, khususnya di negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan beberapa kawasan di Sarawak.

“Keadaan itu dipercayai disebabkan pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah,” katanya.

Menurut laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) bertarikh 24 Ogos, sebanyak 287 titik panas dikesan di Kalimantan, 65 di Sumatera dan 11 di Malaysia.

Daripada 11 titik panas dalam negara, dua dikesan di Johor, lapan di Sarawak dan satu di Selangor.

ASMC turut melaporkan jerebu rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara menuju bahagian barat Sarawak.

Dalam pada itu, JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan situasi jerebu.

JAS mengingatkan sekolah, tadika dan taska perlu ditutup serta-merta sekiranya bacaan IPU melebihi 200.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka serta melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999 atau JAS di talian 1-800-88-2727.

Bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk melalui laman sesawang JAS atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.