
KUANTAN, 25 Ogos – Dakwaan kononnya berlaku insiden penculikan seorang wanita di hadapan sebuah kedai makan di Karak, Bentong adalah tidak benar.
- Ketua Polis Daerah Bentong mengesahkan siasatan awal dijalankan di premis berkenaan.
- Pemilik premis membuat laporan polis mengenai penularan maklumat tersebut.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- Polis gesa pemilik akaun nadiahrafiq_ hadir ke balai membantu siasatan; orang ramai dinasihat jangan sebarkan maklumat belum disahkan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar mengesahkan perkara itu berdasarkan hasil siasatan awal di premis berkenaan.
“Pemilik premis membuat laporan polis berhubung penularan maklumat tersebut semalam.
“Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa pemilik akaun media sosial “nadiahrafiq_” untuk membantu siasatan dengan hadir ke mana-mana balai polis berdekatan.
Orang ramai dinasihat supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelak kegusaran dalam kalangan masyarakat.