Iran sifatkan sekatan terbaharu AS sebagai tindakan terdesak

Foto fail REUTERS

TEHRAN, 24 Ogos – Iran menyifatkan sekatan terbaharu Amerika Syarikat (AS) sebagai pengulangan kempen tekanan Washington sebelum ini, termasuk sekatan yang dikenakan ketika pentadbiran Presiden Barack Obama dan kempen tekanan maksimum pada penggal pertama Donald Trump.

RINGKASAN BERITA AI
  • Araqchi menyifatkan sekatan terbaru sebagai senario berulang dan Iran sudah biasa serta tahu cara menanganinya.
  • Beliau kata tindakan AS selepas ancaman ketenteraan menunjukkan Washington semakin terdesak dan kekurangan penyelesaian terhadap krisis.
  • Araqchi menyeru AS ketepikan pendekatan lama, kembali ke rundingan yang menghormati maruah dan mencari penyelesaian berasaskan keadilan.

Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, berkata langkah terbaharu itu, meskipun diperkenalkan di bawah tajuk berbeza, tetap mencerminkan pendekatan sama yang digunakan AS terhadap Iran selama ini.

“Ini adalah senario berulang,” katanya ketika ditemui di Tehran pada Ahad.

Araqchi berkata Iran sudah biasa berdepan pendekatan sedemikian dan mengetahui cara untuk menanganinya.

Beliau turut menyifatkan tindakan Washington kembali mengenakan sekatan selepas sebelum ini mengeluarkan ancaman ketenteraan sebagai petunjuk bahawa AS semakin terdesak dan tidak mempunyai penyelesaian terhadap krisis semasa.

Menurutnya, AS perlu mengetepikan pendekatan lama dan kembali kepada rundingan yang menghormati Iran bagi mencari penyelesaian berasaskan keadilan serta maruah.

“Tiada pilihan lain selain dialog yang menghormati rakyat Iran dan penyelesaian berasaskan keadilan dan maruah,” katanya.

Araqchi berkata Iran akan memberi respons secara hormat sekiranya Washington menggunakan pendekatan yang menghormati maruah negara itu. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.