Laluan baharu Gunung Everest lebih selamat, jimat masa pendakian

Laluan yang dicadangkan berpotensi mengurangkan pendedahan kepada pendaki dengan risiko di Khumbu Icefall/Foto BERNAMA

Kuala Lumpur, 23 Ogos – Komuniti pendaki altitud tinggi kini mempunyai laluan alternatif ke Gunung Everest yang dijangka lebih selamat serta berpotensi menjimatkan tempoh perjalanan ke puncak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengurangkan pendedahan pendaki kepada risiko di Khumbu Icefall.
  • Laluan bermula dari Kem Induk ke Nuptse Ridge sebagai alternatif ke Kem 1 tanpa merentasi Khumbu Icefall.
  • Diteroka dan dikaji sejak 2021 oleh pendaki Perancis dan Nepal termasuk Marc Batard, Speed Kaji Sherpa, Passang Nuru Sherpa.
  • Pelan merangkumi kira-kira 200 anak tangga logam dan 300 meter tali kekal, tertakluk kepada kelulusan.

Laluan yang dicadangkan itu juga berpotensi mengurangkan pendedahan kepada pendaki dengan risiko di Khumbu Icefall.

Pendaki pertama Malaysia yang berjaya menawan puncak Gunung Everest, Datuk M. Magendran mengakui pengenalan baharu laluan berkenaan dijangka akan menarik lebih ramai pendaki Malaysia untuk menawan puncak gunung itu pada masa depan, berbanding pengalaman yang pernah dilaluinya termasuk mendaki puncak berketinggian lebih 8,000 meter.

“Terdapat lebih daripada 14 gunung di dunia yang mempunyai ketinggian melebihi 8,000 meter, sekali gus memberi cabaran besar kepada komuniti pendaki.

“Walaupun Gunung Everest merupakan gunung tertinggi di dunia, ia bukanlah gunung yang paling sukar untuk didaki kerana terdapat beberapa gunung lain yang mempunyai tahap kesukaran lebih tinggi,”akuinya selepas sesi perkongsian bersama Kelab Pendaki Everest Malaysia.

Terdahulu berlangsungnya sesi pembentangan laluan baharu Everest oleh Presiden Himalayan Expeditions, Bikram Pandey Kaaji.

Pemilihan Malaysia sebagai lokasi pembentangan memandangkan hubungan rapat dengan industri pelancongan Nepal serta ramai rakyat negara ini berkunjung ke negara itu setiap tahun untuk menyertai ekspedisi pendakian.

Laluan yang dicadangkan itu bermula dari kawasan Kem Induk Everest menuju ke Nuptse Ridge, sekali gus menyediakan laluan alternatif ke Kem 1 tanpa perlu merentasi Khumbu Icefall yang panjangnya kira-kira empat kilometer.

Laluan berkenaan juga telah diteroka, dikaji dan dilengkapi secara berperingkat sejak 2021 oleh pendaki Perancis dan Nepal, termasuk pendaki pergunungan Alp terkenal Perancis Marc Batard, Speed Kaji Sherpa dan Passang Nuru Sherpa.

Berdasarkan pelan projek, laluan baharu itu dijangka dilengkapi kira-kira 200 anak tangga logam dan tali kekal sepanjang 300 meter, tertakluk kepada penyempurnaan kerja-kerja berkenaan serta kelulusan yang diperlukan untuk penggunaannya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.