
KLANG, 23 Ogos – Pingat emas pada penampilan terakhir di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 menjadi penutup manis buat atlet Muay Thai Selangor, Putra Abdullah Mahmoud, selepas menewaskan wakil Pulau Pinang, Muhamad Hakimi Nordin, 36-19 dalam aksi final kategori lelaki 57 hingga 60 kilogram (kg), hari ini.
- Putra menutup karier SUKMA dengan pingat emas, melihatnya sebagai hasil pengorbanan dan persiapan.
- Dia akan memberi tumpuan kepada kejohanan bawah 24 tahun dan World Grand Prix selepas SUKMA.
- Mengaku sukar menyesuaikan diri dengan kategori amatur dan padding yang lebih berat, tetapi terus usaha di gelanggang.
- Menghargai sokongan keluarga, jurulatih, rakan dan penyokong serta usaha menurunkan 12 kilogram dalam dua bulan.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Putra yang menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai hasil segala pengorbanan dan persiapan yang dilaluinya, namun menegaskan perjuangannya dalam sukan Muay Thai masih jauh daripada berakhir.
“Alhamdulillah, ini adalah SUKMA terakhir untuk karier dan saya berjaya dapat pingat emas. Banyak lagi perjuangan yang saya akan hadapi selepas ini dan saya tidak akan berhenti di sini,” katanya ketika ditemui media.
Selepas menutup perjalanan di pentas SUKMA dengan pingat emas, Putra kini mahu memberi tumpuan kepada cabaran seterusnya, termasuk kejohanan kategori bawah 24 tahun dan World Grand Prix yang bakal disertainya.
Beliau mengakui berdepan cabaran untuk menyesuaikan diri sepanjang pertandingan selepas lama tidak beraksi dalam kategori amatur.
“Saya dah lama tidak bertanding kategori amatur dan bertanding di Malaysia. Jadi, saya sangat gembira kerana ramai rakyat Malaysia datang menyokong.
“Saya juga cuba ubah cara bertarung kerana padding ini agak berat, jadi memang agak sukar, tetapi saya cuba sampai menjadi di atas gelanggang,” katanya.
Putra turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga, jurulatih, rakan-rakan dan penyokong yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh persiapannya, termasuk ketika menjalani proses menurunkan 12 kilogram berat badan dalam tempoh dua bulan.
Sementara itu, Selangor tampil dominan pada aksi final Muay Thai hari ini apabila mencatat lima kemenangan menerusi kategori lelaki 54kg, 57kg, 60kg, 63.5kg dan 67kg.