
PAPAR, 23 Ogos – Bulan Kebangsaan perlu dijadikan ruang untuk masyarakat menghayati kembali perjalanan pembinaan negara dan menjadikannya landasan memperkukuh rasa cintakan tanah air.
- Harmoni berbilang bangsa perlu dipupuk demi masa depan negara.
- Perpaduan, kestabilan dan keamanan adalah kunci kemakmuran serta kesejahteraan negara.
- Semangat patriotik tidak harus bersifat sementara atau hanya muncul pada masa tertentu.
- Semangat patriotik mesti dipupuk berterusan dan diterjemah melalui tindakan bertanggungjawab terhadap negara.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu merupakan asas penting dalam membina keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang bangsa demi masa depan negara.
“Apa juga perbezaan, kita kena ingat bahawa akhirnya negara ini hanya boleh dibangunkan, dibina dan dimajukan dengan adanya perpaduan, kestabilan dan keamanan. Ini adalah kunci kepada kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semangat patriotik tidak seharusnya hanya bersemarak sepanjang bulan kebangsaan atau bersifat sementara.
Sebaliknya, semangat itu perlu terus dipupuk dan diterjemahkan menerusi tindakan yang mencerminkan rasa tanggungjawab terhadap negara.