Audit forensik wajar dilaksana jika ada salah laku dalam FELDA

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Audit forensik wajar dilaksanakan terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sekiranya siasatan mendapati berlaku penyalahgunaan kuasa, pecah amanah atau pelanggaran tatacara dalam pengurusan agensi itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerugian hampir RM10 bilion menjejaskan kepentingan kira-kira 225,000 peneroka dan generasinya.
  • Audit forensik perlu dilaksanakan, bukan hanya audit pengurusan, bagi mengenal pasti salah laku berdasarkan bukti kukuh.
  • Pihak bertanggungjawab wajar dibawa ke muka pengadilan, namun siasatan tidak boleh memalukan atau menzalimi mana-mana individu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan terperinci penting berikutan kerugian kira-kira RM9 bilion yang dialami FELDA sebelum ini tidak boleh ditoleransi, selain membabitkan kepentingan kira-kira 225,000 peneroka dan generasinya.

Audit yang dijalankan tidak seharusnya terhad kepada pengurusan sebaliknya perlu merangkumi audit forensik bagi memastikan sebarang salah laku dapat dikenal pasti berdasarkan bukti kukuh.

“Tanggungjawab ini diambil oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk melakukan siasatan walaupun mantan Pengerusi FELDA telah menjalani hukuman.

“Jika terdapat beberapa penyalahgunaan kuasa ataupun pecah amanah dan tatacara yang tidak diikuti, pada hemat saya siasatan terperinci mesti dilakukan. Yang penting bukan hanya audit pengurusan, tetapi audit forensik mesti dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Sedunia (WITEX) 2026 dan Festival Kebudayaan dan Kesenian Dunia (WCAF) 2026 di ibu negara hari ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, pihak yang didapati bertanggungjawab berdasarkan bukti kukuh sewajarnya dibawa ke muka pengadilan, namun proses siasatan tidak boleh bertujuan menghina, menzalimi atau memalukan mana-mana individu.

Kepentingan warga FELDA perlu terus dipelihara kerajaan memandangkan komuniti itu mempunyai kepentingan langsung dan tidak langsung terhadap masa depan agensi tersebut.

Sebelum ini media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan akan mengumumkan laporan siasatan berkaitan FELDA dalam masa terdekat selepas Pasukan Petugas Khas menyelesaikan siasatan yang sedang dijalankan.

Menurut Datuk Seri Anwar, beliau kini menunggu laporan lengkap siasatan berkenaan sebelum hasilnya didedahkan kepada umum.

Beliau sebelum ini pernah mendedahkan mendedahkan FELDA kini menanggung kerugian hampir RM10 bilion akibat salah urus serta campur tangan politik yang berlebihan.

Tegasnya, laporan yang diterima menunjukkan FELDA dibelenggu hutang hampir RM10 bilion, sekali gus memaksa kerajaan menanggung beban kewangan yang besar setiap tahun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.