Penambahbaikan subsidi diesel diumum dalam tempoh kurang sebulan – Armizan

Foto BERNAMA

PAPAR, 22 Ogos – Pengumuman penambahbaikan mekanisme subsidi diesel oleh Kerajaan Persekutuan dijangka dibuat dalam tempoh kurang daripada sebulan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPDN telah melaksanakan sesi libat urus dan menghantar semua maklum balas kepada Kementerian Kewangan.
  • Syor serta maklum balas daripada Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak telah diterima.
  • Akta baharu lebih komprehensif sedang dirangka bagi memperkukuh kawal selia sektor e-dagang.
  • Cadangan akta diperincikan bersama Jabatan Peguam Negara, Kementerian Komunikasi, MCMC dan Kementerian Digital sebelum dibawa ke Parlimen.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) optimis pengumuman itu mampu dilakukan lebih awal berbanding anggaran tempoh antara satu hingga dua bulan sebelum ini.

Datuk Armizan berkata KPDN optimis kerana dalam tempoh itu sesi libat urus dengan pihak terlibat telah dilaksanakan dan segala maklum balas sudah diberikan kepada Kementerian Kewangan (MOF).

“Perbincangan telah diadakan antara pihak berkaitan dan syor serta maklum balas daripada Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak telah diterima.

“Kementerian Kewangan dan KPDN juga telah memberikan pandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah MADANI dan Kempen Internet Selamat di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Armizan berkata akta baharu yang lebih komprehensif sedang dirangka bagi memperkukuh kawal selia sektor e-dagang di negara ini.

Langkah itu bagi memastikan perkembangan perdagangan elektronik lebih selamat dan bertanggungjawab, selain memberi perlindungan kepada penjual serta pengguna.

“Cadangan kita adalah untuk memansuhkan Akta Perdagangan Elektronik dan menggantikannya dengan satu akta baharu yang lebih komprehensif,” katanya lagi.

Datuk Armizan berkata, akta baharu itu akan memberi manfaat kepada rakyat, penjual dan usahawan yang menjadikan platform dalam talian sebagai sumber pendapatan.

Cadangan akta berkenaan kini diperincikan bersama Jabatan Peguam Negara, Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Digital sebelum dibawa ke Parlimen.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.