23 individu terima pengiktirafan ‘Unsung Heroes’

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail (sebelah kiri) pada Majlis Apresiasi Minnal FM / Foto RTM

GOMBAK, 22 Ogos – Seramai 23 individu menerima pengiktirafan sebagai ‘Unsung Heroes’ pada Majlis Apresiasi Minnal FM yang berlangsung di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengiktirafan diberikan kepada individu yang memberi inspirasi luar biasa dan membawa perubahan positif kepada komuniti.
  • Penerima termasuk yang bantu pelajar B40 serta pencipta buku braille digital mengangkat suara OKU penglihatan.
  • Ketua Pengarah menyatakan pengiktirafan penting untuk menonjolkan sumbangan tidak didendangkan dan menggalakkan lebih banyak program.

Pengiktirafan itu diberikan selepas mereka memberi inspirasi luar biasa dan membawa perubahan positif kepada komuniti dalam bidang masing-masing.

Penerima, Suraindran Kandasamy berkata dirinya tidak menyangka akan menerima pengiktirafan itu.

“Kami yang berkhidmat demi komuniti tidak mengharapkan sebarang pengiktirafan atau balasan.

“Niat kami hanya mahu memastikan perkhidmatan diberikan memberi kesan positif kepada komuniti khususnya pelajar B40. Kami percaya setiap pelajar jika diberi peluang berpotensi untuk berjaya,” katanya.

Selain itu, Umashangari Selvamani yang menghasilkan buku digital braille untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan berkata, pengiktirafan tersebut secara tidak langsung mengangkat nasib dan suara golongan mereka.

“Saya sebenarnya sangat terharu kerana saya tidak menyangkakannya. Perkhidmatan saya sebenarnya demi komuniti saya.

“Disebabkan kami OKU penglihatan tidak bermakna kami patut dipinggirkan dari arus pendidikan,” kata Umashangari yang juga penerima.

Sementara itu, Datuk Abdul Hamid P.V.Abdu yang juga penerima berkata dirinya akan menjadikan pengiktirafan itu untuk terus menyumbang pada masa akan datang.

“Saya rasa sangat bertuah kerana diberi pengiktirafan ini.

“Saya bertekad untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat dalam kapasiti sebagai ahli perniagaan,” ujarnya.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail / Foto RTM

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail yang hadir pada majlis berkenaan berkata, pengiktirafan tersebut penting bagi menyampaikan mesej bahawa sumbangan yang kadang-kadang tidak didendangkan, turut memberi impak besar kepada kehidupan.

“Kesemua 23 individu ini memberi inspirasi luar biasa kepada kehidupan harian masyarakat merentas pelbagai latar belakang dan demografi.

“Justeru, saya rasa penting untuk kita memberi penekanan dan tumpuan khusus supaya lebih banyak program sebegini dianjurkan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Minnal FM yang juga penganjur, Kumaran Subramaniam
berkata, pengiktirafan bertujuan mengetengahkan suri teladan kepada komuniti India.

“Kita selaku penganjur mendapatkan profil penerima dan kita membuat kajian sama ada mereka melakukan perkhidmatan atau sumbangan mereka dengan niat murni dan ikhlas.

“Hasil kajian dilaksanakan ternyata kesemua penerima memang melakukan khidmat tanpa mengharapkan sebarang balasan,” ujarnya.

Penyampaian pengiktirafan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad, Tan Sri Tony Fernandes diiringi Ashwad.

Majlis Apresiasi Minnal FM 2026 bertemakan ‘Menginspirasikan
Komuniti, Mengiktiraf Wira, Mencipta Harapan’, menghimpunkan tokoh masyarakat, rakan strategik dan komuniti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.