KUSKOP pergiat usaha bantu PMKS tangani cabaran kos perniagaan

Menteri KUSKOP, Steven Sim / Foto RTM

BUKIT MERTAJAM, 22 Ogos – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melaksanakan beberapa langkah bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menangani cabaran kos perniagaan susulan ketidaktentuan geopolitik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus memastikan usahawan, khususnya PMKS, mendapat lebih banyak sumber dana dan pengurangan kos menjalankan perniagaan.
  • Pelancaran PRIME 2026 dan Buku Aspirasi Membangun Usahawan MADANI disempurnakan untuk sokongan dan rujukan kepada usahawan.
  • Memanjangkan tempoh pembaharuan kira-kira 55 lesen dan permit perniagaan kepada tiga hingga lima tahun bagi mengurangkan birokrasi.
  • Membantu sektor memerlukan pekerja asing secara teratur dengan kawalan ketat; sasaran RMK13 kurangkan kebergantungan kepada 10 peratus menjelang 2030.

Menteri berkenaan Steven Sim berkata langkah itu penting memandangkan dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk krisis bekalan tenaga, gangguan rantaian bekalan, peperangan serta persaingan perniagaan yang semakin sengit.

“Kita hendak pastikan usahawan khususnya PMKS mempunyai lebih banyak sumber dana dan bagaimana kita boleh bantu PMKS mengurangkan kos menjalankan perniagaan, itu fokus saya sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pusat Rujukan Inklusif Usahawan MADANI (PRIME) 2026 dan Buku Aspirasi Membangun Usahawan MADANI 20 Tahun Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) di Pusat NADI Machang Bubok, di sini hari ini.

Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata selain itu, langkah lain yang sedang dilaksanakan termasuk memanjangkan tempoh pembaharuan lesen dan permit perniagaan tertentu bagi mengurangkan kerenah birokrasi.

Beliau berkata kerajaan melalui jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar telah mengenal pasti kira-kira 55 lesen dan permit perniagaan yang sebelum ini perlu diperbaharui setiap tahun untuk diberikan tempoh pembaharuan lebih panjang.

“Walaupun nampak seperti perkara kecil, bagi peniaga khususnya peniaga kecil, ini memberi impak yang besar kerana mengurangkan proses birokrasi. Sekali pergi memperbaharui, mereka boleh buatnya untuk tempoh tiga atau lima tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Sim berkata KUSKOP juga akan membantu sektor yang benar-benar memerlukan pekerja asing supaya proses pengambilan dapat dilaksanakan secara teratur dan langkah tersebut perlu dilaksanakan dengan kawalan sewajarnya bagi mengelakkan ketirisan serta isu seperti pemerdagangan manusia.

Beliau berkata sasaran mengurangkan kebergantungan sektor PMKS terhadap pekerja asing kepada 10 peratus menjelang 2030 merupakan antara sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), namun keutamaan beliau ketika ini adalah menangani masalah yang dihadapi usahawan pada tahun ini.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.