
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmennya agar hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinannya dengan Kerajaan Sarawak dan Sabah akan terus diperkukuh atas dasar saling menghormati dan kepercayaan.
- Perdana Menteri mengadakan perbincangan dengan Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah semasa Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei (ALC 27).
- Membincangkan persediaan menjelang Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Kota Kinabalu dalam beberapa minggu.
- Bertukar pandangan mengenai beberapa perkembangan mutakhir.
- Memfokuskan usaha memperkukuh kerjasama Persekutuan, Sarawak dan Sabah demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan lebih adil dan seimbang.
Menurut Datuk Seri Anwar, beliau telah mengadakan perbincangan bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang ikut serta dalam Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei kali ke 27 (ALC 27) di Bandar Seri Begawan, hari ini.
Beliau berkata, antara yang disentuh dalam pertemuan tersebut termasuk persediaan menjelang Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang akan berlangsung di Kota Kinabalu dalam beberapa minggu akan datang.
“Kami turut bertukar pandangan terkait beberapa perkembangan mutakhir, selain memberi tumpuan kepada ikhtiar memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan yang lebih adil dan seimbang”, katanya menerusi hantaran di Facebook.